Dua cedera dalam kejadian tanah runtuh di rumah panjang Branda


PAKAN-Dua penduduk cedera selepas berlaku tanah runtuh di belakang dapur dan bilik di empat buah  rumah di rumah Branda ak Baling, Nanga Keluton, Jalan Entabai-Pakan, petang tadi.


Dalam kejadian itu mereka yang cedera ialah seorang remaja lelaki Pagih ak Belula,13, mengalami patah kaki selepas tertimbus pada paras paha dan seorang wanita Telenjing ak Gandi,59, cedera ringan di bahagian kaki 



Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata,pihaknya menerima laporan berhubung kes itu pada jam 5.42 petang dengan menggerakkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor ke lokasi kejadian.


Menurutnya, setibanya di tempat kejadian empat buah rumah didapati terdapat runtuhan  di belakang dapur dan bilik daripada 36 pintu rumah panjang tersebut.



"Remaja lelaki yang tertimbus telah berjaya dikeluarkan oleh penduduk kampung sebelum pihak Bomba tiba dan dibawa ke Klinik Kesihatan Nanga Entaih bagi mendapatkan rawatan," katanya dalam kenyataan hari ini.



Katanya,anggota Bomba memasang sawar-sawar (pengadang) di kawasan runtuhan berkenaan supaya tidak didekati oleh penduduk. 


"Pihak Bomba menasihatkan penduduk supaya sentiasa berwaspada serta mengarah kesemua empat penghuni pintu yang terjejas berpindah ke rumah saudara buat sementara waktu," ujarnya.

Next Post Previous Post