Bot karam: Juragan berenang enam jam minta bantuan

Bot karam, Juragan minta bantuan, Pulau Mantabuan

Gambar kredit Polis Daerah Semporna


SEMPORNA—Seorang juragan warga tempatan berenang selama enam jam ke Pulau Mantabuan bagi mendapatkan bantuan kerana bot yang membawa 11 penumpang telah dimasuki air sebelum karam, semalam.


Ketua Polis Daerah Semporna  Supt Mohd Farhan Lee Abdullah berkata bot kayu itu dimasuki air sebelum karam dipercayai kerana terlanggar kayu yang terapung dalam kejadian antara 4.30 hingga 5 petang di perairan Pulau Mantabuan.


12 individu termasuk seroang kanak-kanak diselamatkan selepas bot yang dinaiki karam di perairan Pulau Mantabuan pada Ahad. Gambar kredit Polis Daerah Semporna


Beliau berkata dalam kejadian itu, juragan bot berusia 46 tahun dan penumpang mengikat tong minyak kosong di sekeliling bot tersebut bagi mengelakkan ia tenggelam sebelum juragan itu berenang mendapatkan bantuan pihak berkuasa.


"Pasukan Angkatan Tentera Malaysia yang berada di pulau itu kemudian menjalankan tindakan menyelamat semua mangsa sebelum menyerahkan kepada pasukan Polis Marin untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Mohd Farhan berkata kesemua mangsa terdiri daripada sembilan lelaki, dua wanita serta seorang kanak-kanak lelaki berumur tiga hingga 79 tahun.


Katanya, juragan itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 280 Kanun Keseksaan iaitu menjalankan aktiviti perahuan dengan gopoh manakala empat penumpang yang tiada dokumen pengenalan diri ditahan bagi siasatan kes di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1963.


“Semua juragan bot diminta sentiasa mematuhi keselamatan dan peraturan ditetapkan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.