Bintulu tuan rumah sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sarawak 2022

Gambar kredit UKAS

KUCHING—Bahagian Bintulu dipilih sebagai tuan rumah sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sarawak 2022 pada 16 September depan.


Bertemakan  ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ sambutan itu bakal diadakan di Lasar Kenyalang, Lapangan Terbang Lama Bintulu.


Menteri Bertanggungjawab bagi sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sarawak 2022, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, sambutan itu bakal diraikan secara fizikal dengan kehadiran kira-kira 5,000 jemputan.


Kata Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak terbabit, sambutan Hari Malaysia 2022 amat signifikan diadakan untuk memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian rakyat di negara ini.


“Pada tahun 1963, kita telah mengadakan satu perjanjian yang kita namakan Perjanjian Malaysia (MA63) dan banyak perjanjian-perjanjian yang telah dipersetujui pada ketika itu. 


“Sambutan ini penting kerana ia adalah satu peringatan kepada rakyat Malaysia peristiwa bersejarah yang berlaku pada 16 September 1963 dahulu,” katanya pada sidang media Sambutan Hari Malaysia Peringkat Sarawak di sini, hari ini.


Sementara itu, Dr Stephen menambah, sambutan itu juga dapat mengimbas semula sumbangan serta perjuangan para pemimpin terdahulu dalam membentuk Malaysia.


Pada tarikh tersebut lahirnya sebuah negara baharu bernama Malaysia. Justeru, semangat perjuangan pemimpin ini harus dijadikan pembakar semangat untuk negara dan setiap rakyatnya teguh bersama.


"Saya menyeru marilah kita suburkan semangat patriotisme bagi merealisasikan masa depan yang makmur ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju mengikut acuan sendiri,” katanya.


Dalam pada itu ADUN Kemena itu, sambutan akan diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib.


Hadir sama, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama isteri Puan Sri Datuk Amar Hajjah Juma’ani Tun Tuanku Bujang.


Beliau menambah, Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPANS) dan Pejabat Residen Bahagian Bintulu selaku penganjur akan bersama menyusun pelbagai persembahan daripada Majlis Seni Sarawak.


"Antaranya persembahan hiburan seperti nyanyian artis terkenal seperti Datuk M.Nasir, Andi Bernadee, Ramles Walter, Florence Lo, Claudia Geres, Safar Ghafar, Sazia Selir dan Max Kueh.


"Selain itu, persembahan tarian suku kaum tempatan di bahagian Bintulu, iaitu etnik Iban, Orang Ulu, Melanau, Cina, Melayu, Bidayuh, Kadayan dan Vaie.


“Orang ramai juga berpeluang menyaksikan tayangan video transformasi Bintulu daripada sebuah pekan nelayan menjadi pusat industri yang terkenal dalam Malaysia, dan ini merupakan kebanggaan warga Bintulu.


“Sambutan akan disiarkan secara langsung melalui TVS saluran 122 Astro dan myFreeview serta di Facebook Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan Youtube, UKAS Channel,” katanya.

Next Post Previous Post