Aspirasi mahu tanding empat kerusi pada PRU-15

Aspirasi, Tanding empat kerusi, PRU-15, Sarawak Update
Soo (kanan) secara simbolik menyerahkan logo parti kepada Pengerusi Aspirasi George Young Si Ricord Jr (kiri). Gambar kredit FB

KUCHING—Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI) bakal bertanding di empat kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU-15) akan datang.


Perkara itu disahkan oleh presidennya, Lina Soo dalam satu sidang media yang diadakan di sini hari ini.


Beliau turut memberitahu, tiga daripada kerusi parlimen tersebut merupakan kerusi Bidayuh.


“Kita menyasarkan empat kerusi iaitu satu di Bandar Kuching dan tiga lagi di kawasan luar bandar iaitu Serian, Puncak Borneo dan Mas Gading.


“Kita telah mengenal pasti calon-calon berpotensi namun, senarai penuh calon sedang diperinci dan akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.


Dalam perkembangan berkaitan beliau mendedahkan Aspirasi turut memperkenalkan slogan baharu dalam bahasa Bidayuh iaitu ‘Parti Adup Ta’ yang bermaksud parti kita sendiri.


Jelasnya, slogan tersebut akan digunakan Aspirasi ketika berkempen pada PRU-15 kelak.


“Pelancaran bendera ‘Jelajah Aspirasi’ hari ini juga sebahagian daripada persiapan parti menghadapi PRU akan datang.


“Aspirasi mahu rakyat Sarawak mengetahui logo rama-rama Rajah Brooke kami, secara saintifiknya diberi nama Trogonoptera Brookiana.


"Brookiana adalah salah satu daripada Tujuh Keajaiban Borneo dan dinamakan sempena Sir James Brooke iaitu pengasas Sarawak,” katanya.


Dalam pada itu, beliau berkata Aspirasi juga masih terbuka untuk rundingan dan perbincangan dan mencuba sedaya upaya bekerjasama dengan Parti Pembangkang lain.


“Kami sedang berbincang dengan parti politik lain untuk mengurangkan peluang pertembungan pelbagai penjuru kerana ia hanya akan menguntungkan GPS (Gabungan Parti Sarawak).


“Aspirasi juga akan membincangkan dan berunding dengan parti Pembangkang utama iaitu Pakatan Harapan (PH). Yang terbaik adalah untuk bertanding dalam pertembungan satu lawan satu,“ katanya.

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.