-->

Notification

×

Iklan

Iklan

Basikal buluh Sarawak di pasaran mulai 2023

| Ogos 24, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-08-24T09:45:56Z
Basikal buluh keluaran Sarawak dijangka dipasarkan pada 2023

SAMARAHAN—Basikal buluh Sarawak mengikut piawaian antarabangsa SIRIM berharga mencecah RM12,000 seunit bakal berada di pasaran mulai Januari 2023.


Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA), Datuk Hashim Bojet, berkata pihaknya dan sebuah syarikat dari Shanghai, China akan menjalin kerjasama membangunkan basikal buluh secara komersial di bengkel Kompleks Industri Perabot PUSAKA Kota Samarahan (KIPPKS) di sini.


Basikal buluh keluaran Sarawak dijangka dipasarkan pada 2023


Beliau berkata, ketika ini PUSAKA sedang membuat persiapan termasuk melatih peserta memasang basikal buluh di KIPPKS.


“Kita berharap dapat memasarkan basikal buluh ini mulai Januari 2023 sempena sambutan ulang tahun ke-50 PUSAKA.


Harga basikal buluh diperbuat daripada buluh tempatan yang dieksport boleh mencecah sekitar RM5,000 hingga RM12,000 seunit,” katanya selepas penutupan Kursus Basikal Buluh di KIPPKS, di sini hari ini.


Peserta kursus basikal buluh yang menyertai program latihan di Kompleks Industri Perabot PUSAKA Kota Samarahan (KIPPKS).


Hashim menambah, basikal buluh mempunyai potensi yang luas di luar negara khususnya di Eropah selain Vietnam.


“Ramai pengguna basikal misalnya di Eropah beralih menggunakan basikal buluh berbanding logam kerana ia mesra alam dan dapat melindungi alam sekitar.


Kita akan meneliti kos pengeluaran dan kemudian menetapkan harga untuk pasaran tempatan,” katanya.


Selain itu, PUSAKA bekerjasama dengan SIRIM (Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia) untuk mengeluarkan sijil bagi memastikan ia berkualiti tinggi dan memenuhi keperluan pasaran antarabangsa dan pengguna.


Mengenai program kursus tersebut, Hashim berkata sebanyak empat buah basikal buluh berjaya dipasang oleh 15 pelatih yang menyertai kursus selama tiga bulan dengan kerjasama sebuah syarikat dari China.


“Kita akan meneruskan latihan kepada mereka. PUSAKA berhasrat untuk mengeluarkan tidak kurang dari 15 basikal buluh keluaran Sarawak sehingga penghujung tahun ini,” katanya.


“Kita turut bercadang memberikan nama kepada basikal buluh keluaran bengkel terbabit setelah mengadakan pertemuan dengan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.


Di samping itu, program latihan bersama komuniti ini akan diperluas di seluruh Sarawak,” katanya.

×
Berita Terbaru Update