9 anggota polis terlibat kes peras ugut ditukar ke Sabah, Sarawak

9 anggota polis, Kes pemerasan, Sabah, Sarawak, Ahli Perniagaan di Gombak
Gambar hiasan

SHAH ALAM - Sembilan anggota polis yang sebelum ini disiasat selepas dipercayai terlibat kes pemerasan seorang ahli perniagaan di Gombak, Selangor mengenai pemilikan dadah, baru-baru ini telah ditempatkan untuk bertugas di Sabah dan Sarawak.


Memetik Sinar Harian, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, siasatan berkaitan kesemua anggota terdiri daripada konstabel hingga sub inspektor masih dijalankan secara terperinci.


"Kesemua anggota yang terlibat telah ditukarkan ke beberapa balai polis dan bahagian di Sabah dan Sarawak.


"Siasatan masih dijalankan melibatkan semua aspek dan saya tegaskan bahawa Polis Selangor sama sekali tidak berkompromi terhadap anggota atau pegawai yang terlibat dalam sebarang kes jenayah," katanya hari ini.


BERNAMA sebelum ini melaporkan sembilan anggota polis ditahan semalam bagi membantu siasatan kes pemerasan seorang ahli perniagaan, dipercayai berkaitan dadah di Gombak baru-baru ini. 


Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S. Sasikala Devi berkata kesemua anggota yang berpangkat konstabel hingga sub inspektor tersebut, ditahan kira-kira 11 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.


Beliau berkata penahanan itu susulan laporan yang diterima daripada ahli perniagaan berusia 32 tahun itu pada 26 Julai lepas.


“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan (kesalahan peras ugut) selain siasatan tatatertib yang akan dilakukan,” katanya ketika dihubungi malam ini.


Beliau berkata tindakan susulan terhadap kesemua anggota berkenaan juga akan dilakukan pihak Bukit Aman. 


Katanya semakan awal juga mendapati pengadu memiliki rekod lampau berhubung kes dadah. 


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.