Bekas pengarah mengaku tidak bersalah tipu cagaran RM5 juta


KUALA LUMPUR—Bekas pengarah syarikat hartanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menipu sebuah syarikat berhubung pinjaman wang RM5 juta, lima tahun lepas.


Teoh Soo Beng, 56, yang memakai kemeja berwarna biru, juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah dan pertuduhan pilihan menyalahgunakan empat unit kediaman di Pulau Pinang yang dijadikan cagaran di bawah perjanjian pinjaman wang.


Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa menipu Syarikat Puas Murni Sdn Bhd untuk memberikan pinjaman wang RM5 juta kepada tertuduh dengan memasuki perjanjian pinjaman wang dan perjanjian pinjaman dan penyerahan hak, bertarikh 25 Mei 2017 di Plaza Riverwalk, No. 1, Jalan Selvadurai Off Jalan Sultan Azlan Shah di sini, antara Mei 2017 dan September 2019.


Tertuduh didakwa memperdayakan syarikat itu untuk mempercayai bahawa empat harta milik tertuduh iaitu empat unit kediaman di Jazz Suite, Jalan Seri Tanjung Pinang 1, Tanjung Tokong, Pulau Pinang akan dijadikan sebagai cagaran sepanjang tempoh perjanjian pinjaman wang berlesen berkenaan sehingga mendorong syarikat itu memberikan pinjaman wang RM5 juta kepada tertuduh.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum 10 tahun serta sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.


Bagi pertuduhan kedua, Teoh didakwa melakukan pecah amanah dengan menjual empat harta cagaran itu dengan melanggar terma perjanjian pinjaman wang dan perjanjian pinjaman dan penyerahan hak, yang ditandatangani dengan Syarikat Puas Murni.


Dia dituduh melakukan kesalahan itu di lokasi sama antara November 2018 dan September 2019, mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan sebat atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Sementara itu, tertuduh turut didakwa atas pertuduhan pilihan menyalahgunakan empat harta sama yang telah dijadikan sebagai cagaran di bawah perjanjian pinjaman wang dan perjanjian pinjaman dan penyerahan hak, yang ditandatangani dengan syarikat sama (Puas Murni) di Gurney Tower, Persiaran Gurney, Pulau Pinang antara Mei 2017 dan September 2019.


Pertuduhan dikemukakan mengikut kesalahan Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebat serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.


Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri menawarkan jaminan RM1 juta dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan manakala peguam S Raveentharan yang mewakili tertuduh memohon jaminan RM5,000 dengan alasan anak guamnya perlu menyara ibu bapa, isteri dan anak-anaknya.


“Jaminan hanyalah untuk memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah dan seharusnya dalam nilai yang munasabah. Tiada risiko tertuduh akan melarikan diri kerana dia telah memfailkan untuk kebankrapan pada 25 Sept 2020,” kata peguam itu.


Hakim Kamarudin Kamsun membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 21 Sept untuk sebutan semula kes.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post