Tujuh kematian akibat malaria tahun ini

Tujuh kematian, Jangkitan Malaria, KKM, Berita Malaysia
Gambar hiasan

IPOH-- Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat tujuh kes kematian akibat jangkitan malaria sejak 2 Jan hingga 9 Julai lepas.


Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata daripada jumlah itu, enam kes dilaporkan daripada jangkitan malaria zoonotik manakala satu kes membabitkan malaria manusia jangkitan tempatan.


“Bagi kematian jangkitan malaria zoonotik, dua kes dilaporkan di Terengganu dan Sabah manakala satu kes di Sarawak serta Pahang. Satu kes kematian melibatkan malaria manusia jangkitan tempatan pula berlaku di Johor,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Malaria Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022 di sini hari ini.


Selain itu, beliau berkata sebanyak 1,447 kes malaria dicatatkan dalam tempoh sama membabitkan 1,311 kes malaria zoonotik dan 136 malaria manusia jangkitan tempatan.


“Saya dimaklumkan bahawa kes jangkitan yang berlaku ini masih berada pada tahap terkawal namun kita tidak boleh alpa dan perlu memastikan langkah pencegahan dilakukan bagi menurunkan kadar,” katanya.


Dalam perkembangan sama, Dr Noor Azmi menyarankan pemain industri dalam sektor perladangan, perlombongan dan pembinaan yang menggunakan tenaga pekerja asing supaya sentiasa melakukan pemeriksaan kesihatan termasuk saringan malaria terhadap golongan tersebut.


Beliau berkata ini kerana golongan itu antara yang terdedah dan berisiko dijangkiti malaria berdasarkan penelitian serta kajian yang dilakukan oleh pihak berkaitan.


“Pekerja asing seharusnya melalui pemeriksaan kesihatan termasuk saringan malaria mengikut polisi yang ditetapkan kerajaan. Pihak majikan juga bertanggungjawab membekalkan kelambu berubat bagi melindungi mereka daripada gigitan nyamuk. Bagi pekerja yang mengalami gejala malaria, perlu menjalani pemeriksaan di klinik kesihatan berhampiran,” katanya.


Mengenai sambutan Hari Malaria Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022, beliau berkata bertujuan memberi kesedaran dan menyampaikan mesej kepada masyarakat bahawa malaria merupakan masalah kesihatan awam yang perlu diberikan perhatian secara serius.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.