Dua remaja maut, dua cedera kereta jatuh dalam longkang

Dua maut kereta terbabas masuk longkang. Gambar Bomba

JOHOR BAHRU  -- Dua remaja lelaki maut manakala dua lagi rakan mereka cedera selepas kereta jenis Proton Wira dinaiki dipercayai hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan sebelum terjatuh ke dalam longkang besar dipenuhi air di KM14.3 Lebuhraya Sultan Iskandar di sini, pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Rupiah Abd Wahid berkata kemalangan pada 2.05 pagi itu mengakibatkan kedua-duanya yang berusia 18 tahun dan merupakan pemandu kereta serta penumpang hadapan, meninggal dunia di lokasi kejadian.


Beliau berkata dua penumpang belakang iaitu seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang cedera di paha kanan dan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun cedera di kepala dan badan telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah di sini untuk rawatan lanjut.


"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang dalam perjalanan menghala ke Johor Bahru telah melanggar pembahagi jalan selepas melalui selekoh lalu terbabas ke dalam longkang dipenuhi air yang menyebabkan kereta tersebut tenggelam.


"Kedua-dua mangsa yang maut dikeluarkan oleh pihak bomba manakala dua penumpang belakang berjaya mengeluarkan diri," katanya dalam kenyataan hari ini.


Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin Pegawai Bomba Kanan II Azmi Johar berkata selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu, dua jentera dan tiga 'Rapid Intervention Motorcycle' (RIM) dengan 11 anggota dihantar ke tempat kejadian.


"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati empat mangsa terlibat dalam kemalangan tersebut, namun dua daripadanya berjaya keluar daripada kenderaan sebelum bomba tiba," katanya sambil menambah operasi berkenaan ditamatkan pada 3.08 pagi.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post