Kayak terbalik di lautan, 8 pemancing nyaris maut

Lapan pemancing tempatan  terselamat selepas kayak yang dinaiki terbalik dipukul ombak di Pantai Lutong di sini, pagi tadi. 

MIRI--Berpantang maut sebelum ajal.


Demikian pengalaman yang dilalui lapan pemancing tempatan setelah terselamat selepas kayak mereka terbalik dipukul ombak di Pantai Lutong di sini, pagi tadi. 


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada 9.39 pagi dan menggerakan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng dan Miri Sentral ke lokasi.


"Menurut maklumat awal, kayak yang dinaiki mereka dilaporkan terbalik setelah dilanda ombak kuat kira-kira dua hingga empat batu nautika dari Pantai Lutong awal pagi tadi.


"Tujuh daripada pemancing ditemui terapung dan diselamatkan di pantai Lutong manakala pemancing kelapan berusia 30-an ditemui pada 11.46 pagi," kata PGO dalam kenyataan hari ini.


Tambah PGO, pemancing kelapan itu berjaya diselamatkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) susulan laporan kejadian.


Susulan penemuan katanya, operasi telah ditamatkan pada 12.30 tengah hari.


Terdahulu, lapan pemancing terbabit telah turun ke laut menaiki kayak dari Pantai Lutong di kawasan Bay Shore sekitar 6 pagi untuk menjalankan aktiviti memancing.


Bagaimanapun dalam perjalanan ke lokasi memancing, keadaan cuaca berubah buruk menyebabkan kayak yang dinaiki mereka terbalik dan terus hilang dibawa arus.


Sementara pada 11 pagi, kesemua tujuh pemancing berjaya diselamatkan dan tidak mengalami kecederaan manakala, pemancing kelapan ditemui 46 minit kemudian oleh APMM.

Next Post Previous Post