PRU15: GPS senarai pendek calon rebut semula kerusi Parlimen Mas Gading


KUCHING--Beberapa nama sudah disenarai pendek sebagai calon daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi merebut semula kerusi Parlimen Mas Gading, kata Billy Sujang.


Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar terbabit, bagaimanapun nama calon tersebut akan diumumkan oleh Premier Sarawak selaku Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.


"Apa yang penting adalah GPS perlu mengambil alih kawasan tersebut kerana banyak benda yang kurang di kawasan itu terutama di Opar.


"Pada masa ini, kawasan itu di bawah pembangkang dan ahli parlimen juga dari pembangkang.


"Disebabkan itu, bukan mudah untuk membangunkan kawasan tersebut sekiranya kedua-dua wakil rakyat merupakan pembangkang," katanya selepas upacara pelepasan Larian Momentum 8.0 di sini. 


Pada Pilihan Raya Umu Ke-14 (PRU-14), kerusi Parlimen Mas Gading dimenangi calon Parti Tindakan Demokratik (DAP), Mordi Bimol menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Anthony Nogeh Gumbek.


Bagaimanapun kata Billy, tiada kemajuan berlaku sejak kawasan tersebut diambil alih oleh DAP malah keperluan asas kawasan itu juga mundur.


"Di Mas Gading masih tiada bandar dan kami sedang mencari tapak sesuai untuk membina pembandaran di kawasan Opar dan itu adalah janji Premier kepada saya.


"Saya juga sedang berusaha untuk memastikan pembinaan jalan raya di Selampin dan Kendaie akan disiapkan dan menggesa Ahli Parlimen di kawasan itu mempercepatkan pelaksanaan projek tersebut," katanya.

Next Post Previous Post