Tiga minit tewaskan raja ikan Sarawak

Pelawai Lawai menunjukkan ikan empurau hasil menyelam di sungai Long Busang, Belaga baru-baru ini. Gambar kredit Asroy Pe’laket

BELAGA— Seorang penduduk dari Long Busang, Pelawai Lawai menceritakan pengalaman ‘menewaskan’ empurau, raja ikan Sarawak dalam tempoh tiga minit dengan menyelam di bawah arus deras.


Menariknya, Pelawai menyelam seperti ikan, tanpa menggunakan apa-apa peralatan khas. 


Penduduk kampung menunjukkan hasil tangkapan. Gambar kredit Asroy Pe’laket


“Tidak juga terlalu lama, sekitar dua hingga tiga minit. Ada kawasan tempat menyelam ikan empurau ini dalam dan deras,” katanya seperti diceritakan anak beliau, Asroy Pe’laket kepada Borneo Network melalui Messenger semalam.


Namun usaha ‘menggadai nyawa’ ini ternyata tidak sia-sia apabila beliau berjaya mendaratkan seekor ikan empurau seberat lebih 18 kilogram, beberapa hari lalu.


Penduduk kampung menunjukkan hasil tangkapan. Gambar kredit Asroy Pe’laket


Ikan empurau tersebut berjaya diselam di Sungai Long Busang yang arusnya deras.


Pelawai dengan bangga berkongsi gambar ikan tersebut di media sosial, sehingga penulis menelan air liur membayangkan rasa lemak manis ikan yang dijual dengan harga kayangan itu.


“Terdapat dua jenis empurau iaitu merah dan putih. Ikan yang saya perolehi adalah jenis empurau putih, gred yang paling susah untuk ditemui.


Sungai di Long Busang yang kaya dengan sumber ikan seperti empurau dan semah. Gambar kredit Asroy Pe’laket


Harga ikan empurau ini ditentukan oleh gred dan jenis warna,” katanya.


Menurutnya di Long Busang ikan empurau dijual dengan harga sekitar RM500 sekilo.


Pelawai menambah, musim kemarau adalah waktu yang paling tepat untuk aktiviti memancing dan memukat ikan empurau.


Ikan empurau jenis putih seberat kira-kira 18 kg. Gambar kredit Asroy Pe’laket


“Namun cara ini tidak semestinya berhasil kerana ia bergantung dengan nasib.


Pada bulan ini, saya baru memperolehi dua ekor ikan empurau,” katanya sambil menambah ikan empurau yang baru diperolehi sudah dibeli individu di kawasan itu.


 Jelasnya, ikan empurau sudah popular sejak dulu dan susah didapati, menyebabkan ia sentiasa diburu oleh pembeli walaupun harganya berpuluh ribu.


Bagi yang mahu ‘memburu’ ikan empurau, Long Busang terletak kira-kira 8 jam perjalanan menaiki pacuan empat roda dari Belaga.

Next Post Previous Post