Edar dadah: Pasangan suami isteri, dua anak antara enam individu ditahan

Edar dadah, Pasangan suami isteri, Dua anak ditahan, Berita Malaysia
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai (dua kiri) menunjukkan dadah yabg dirampas. Gambar kredit Polis Sentul  

KUALA LUMPUR—Pasangan suami isteri dan dua anak mereka merupakan antara enam individu yang ditahan, kerana disyaki mengedar pelbagai jenis dadah dianggar bernilai RM328,385 di sekitar Lembah Klang, pada Isnin lepas.


Kesemua suspek yang berusia lingkungan 18 hingga 47 tahun itu, ditahan di sebuah kondominium di Jalan Kuching dan sebuah rumah teres di Taman Indah, Kepong, di sini.



Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata kesemua suspek yang merupakan warga tempatan itu, telah bergiat aktif dalam kegiatan berkenaan sejak setahun lalu.


Beliau berkata modus operandi yang digunakan suspek empat sekeluarga itu adalah menghantar bekalan dadah kepada dua lagi suspek lain untuk dijual.


“Mereka (empat sekeluarga) itu juga akan menghantar (bekalan dadah) terus kepada pelanggan tetap, yang terdiri daripada kawan rapatnya di tempat yang ditetapkan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis  Daerah Sentul, di sini.


Beh berkata empat sekeluarga berkenaan turut memproses ketamin di rumah mereka secara kecil-kecilan untuk dijual semula.


“Selain itu, pil eramin 5 dan pil ekstasi diperoleh dari pembekal lain di tepi jalan di Kuchai Lama, di sini dan polis turut merampas wang tunai RM49,057 melibatkan kesemua suspek,” katanya.


“Jumlah keseluruhan rampasan dadah berkenaan mampu menampung penggunaan seramai 2,045 penagih,” katanya sambil menambah kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya 1952.


Beh berkata kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula Selasa lepas hingga 1 Ogos.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.