Polis rampas 34 pokok ganja di Sungai Bidut, 5 suspek ditangkap


SIBU--Polis merampas 34 pokok ganja berketinggian dua hingga tujuh kaki bernilai RM 56,346 di Sungai Bidut, di sini Rabu lalu.


Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik(JSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Sibu turut berjaya menangkap seorang lelaki dan dua wanita warga tempatan serta seorang lelaki dan seorang wanita warga asing berusia antara 29 hingga 59 tahun dalam serbuan jam 7.30 pagi hingga 3.30 petang itu.


   

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Dato Mancha At berkata, suspek menjadikan kebun sayur di Sungai Bidut sebagai tapak tanaman ganja bagi mengaburi mata pihak berkuasa.


Menurutnya, seorang lelaki tempatan yang ditangkap didapati positif dadah jenis tetrahydnocarrabinol(TBC) manakala dua wanita tempatan serta seorang lelaki dan wanita  warga asing didapati negatif dadah.



"Semakan mendapati ke semua suspek tidak mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan kesalahan jenayah.


"Pihak polis turut menyita sebuah kereta bernilai RM 40,000 di bawah Seksyen 25 Akta Dadah Berbahaya(Perlucutan Hakharta) 1988," katanya dalam kenyataan hari ini.


Katanya, seorang suspek lelaki tempatan disiasat mengikut Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, dua wanita tempatan disiasat mengikut Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952.



"Lelaki dan wanita warga asing pula disiasat mengikut Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya.


"Permohonan reman telah dibuat di Mahkamah Majistret Sibu semalam, ke semua suspek akan direman selama dua hari hingga esok," ujarnya.


Beliau berkata, jika disabitkan kesalahan ke semua suspek boleh dikenakan hukukan penjara seumur hidup dan sebatan yang tidak kurang enam sebatan.


"Kita akan mempertingkatkan tindakan bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah serta melumpuhkan sumber bekalan, kewangan dan aset sindiket bagi memastikan kegiatan mereka dibanteras habisan," tegasnya.

Next Post Previous Post