Suspek bakar kereta di Sibu ditahan

Suspek bakar kereta sudah didakwa di Mahkamah Sesyen Sibu semalam.

SIBU— Seorang lelaki tempatan yang disyaki membakar kereta di tempat parkir belakang sebuah hotel dekat sini pada 3 Julai telah ditahan polis.


Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, hasil siasatan pihak polis pada 8 Julai telah berjaya membuat tangkapan terhadap seorang lelaki berusia 35 tahun.


“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah dan pihak polis turut  membuat beberapa rampasan berkaitan kes,” katanya dalam kenyataan semalam.


Zulkipli menambah, berdasarkan fakta kes, pada 3 Julai sekitar 8 malam, pihak polis telah menerima laporan daripada seorang pengadu, lelaki tempatan berusia 31 tahun memaklumkan kereta beliau telah dibakar semasa parkir di belakang sebuah hotel.


Beliau berkata, semalam suspek telah dituduh melakukan khianat di Mahkamah Sesyen Sibu di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Next Post Previous Post