Pernah ’tumpaskan’ buaya, pesara bomba kini bergelar tauke nasi lemak

Nasi lemak Red Fire yang sentiasa laris dan mendapat sambutan di kalangan pembeli. Gambar kredit Mohd Ali

LIMBANG—Bekas komander operasi ini tidak pernah menyangka hasrat  untuk menceburi bidang perniagaan selepas 30 tahun berkhidmat di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), membawa perubahan yang besar kepada diri dan keluarganya.


Pesara bomba, Mohd Ali Mohd Salleh, 54, pernah  menggemparkan negara dengan keberaniannya menumpaskan dua buaya gergasi seberat 800 kilogram dan lebih satu tan dalam dua operasi mencemaskan di Limbang pada 2017 dan 2020.


Pengalaman menangkap buaya semasa bertugas sebagai komander operasi di JBPM Limbang beberapa tahun lalu. Gambar kredit Mohd Ali


Bagaimanapun selepas tiga dekad  berkhidmat, Mohd Ali akhirnya membuat keputusan untuk menjadi penjual nasi lemak sepenuh masa dengan jenama Red Fire.


Katanya selepas bersara daripada JBPM pada Jun 2021 beliau mengambil langkah berani meluaskan bisnes nasi lemak Red Fire September tahun lalu.


“Resipi nasi lemak ini hasil air tangan isteri saya Rafina Osman 44, yang pernah menghantar nasi lemak ke kantin  Hospital Limbang.


Mohd Ali menghantar sendiri tempahan nasi lemak Red Fire kepada pembeli di sekitar Limbang. Gambar kredit Mohd Ali


Namun disebabkan pandemik COVID-19, jualan nasi lemak terpaksa dihentikan. Kami meneruskan jualan selepas saya bersara pada Jun tahun lepas,”katanya kepada Borneo Network semalam.


Beliau turut membantu isterinya memasak nasi lemak termasuk menyediakan sambal seawal jam 4 pagi setiap hari sebelum melakukan penghantaran (COD) mulai 8.30 pagi.


“Setiap hari kami menyediakan sekitar 100 tempahan sehingga tak menang tangan. Sejak September 2021, lebih 2,000 nasi lemak sudah dijual.


“Alhamdulillah sambutan sentiasa ada dan maklum balas amat baik. Apa yang penting pelanggan suka dengan rasanya yang sedap selain harga berbaloi,”katanya.


 Nasi lemak Red Fire dijual dengan harga RM5 untuk satu pilihan lauk manakala RM7 untuk dua lauk. Pelanggan boleh memilih ayam goreng, sotong, udang atau kerang.


Mohd Ali berkata, hasil berniaga nasi lemak beliau boleh menjana pendapatan sehingga RM200 sehari.


Mohd Ali juga ligat mempromosikan nasi lemak Red Firenya melalui laman sosial Facebook yang kini mendapat sambutan ‘berapi’.


“Boleh dikatakan setiap hari saya menerima tempahan dari pelanggan tetap, termasuk daripada agensi kerajaan, orang perseorangan, pihak masjid dan surau yang melakukan sedekah dan majlis keluarga.


Moh Ali berkata walaupun pernah dikejar anjing ketika melakukan COD di Taman Pertama dekat sini hingga terserempak dengan reptilia ular berbisa namun beliau seronok menghantar tempahan.


“Jika dulu kita hanya fikir kerja, sekarang ni banyak masa untuk fikir bisnes,tunggu tempahan masuk, memang seronok COD, tak boring,”katanya.


Jelasnya beliau pernah melakukan COD sejauh lebih 24 kilometer ke Pengkalan Madang, Batu Danau ketika menerima tempahan semasa musim mengundi.


“Sekarang ini paling jauh saya melakukan COD ke Kampung Batu Bakarang dan kawasan bandar.


“Bagi kawasan berdekatan bandar tiada caj dikenakan dan untuk kawasan jauh hanya  RM2 dikenakan untuk khidmat COD,”ujar Mohd Ali lagi.


Mohd Ali berkata lagi beliau memilih untuk  bersara awal kerana sudah berkhidmat lebih 30 tahun dalam  perkhidmatan selain memikirkan keadaan semasa dan faktor kesihatannya.


Selain berpengalaman menundukkan sang bedal,beliau juga pernah terlibat dalam operasi mendebarkan kebakaran gas beracun ketika berkhidmat selama lima tahun di Miri selain terlibat dengan kebakaran besar di Limbang.


Malah JBPM Limbang menyifatkan persaraan  Mohd Ali  ibarat hilangnya permata di dalam jabatan dan jasa beliau sentiasa dikenang.

Next Post Previous Post