Sukan Komanwel: Pandelela, Dhabitah mampu hadiahkan pingat emas

Dhabitah (kiri) dan Pandelela diyakini berupaya menghadiahkan pingat emas pada Sukan Komanwel Birmingham 2022. Gambar arkib

KUALA LUMPUR—Sukan terjun berupaya menghadiahkan pingat emas pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 berdasarkan pencapaian diraih penerjun negara di Kejohanan Dunia di Budapest, Hungary baru-baru ini.


Keyakinan itu dilontarkan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Komanwel Birmingham Datuk Shahrul Zaman Yahya selepas gandingan negara Datuk Pandelela Rinong Pamg-Nur Dhabitah Sabri berjaya mengatasi pencabar dari negara Komanwel di Budapest.


“Kita doakan Pandelela dan Nur Dhabitah akan mampu mengulangi prestasi cemerlang mereka di kejohanan dunia. Saya secara peribadi sangat harapkan kilauan emas daripada mereka,” katanya selepas meninjau persiapan skuad terjun di Pusat Akuatik Nasional di Bukit Jalil, di sini hari ini.


Shahrul Zaman bagaimanapun enggan meletakkan tekanan terhadap kedua-dua penerjun itu sebaliknya hanya mahu mereka termasuk barisan penerjun lain menikmati terjunan masing-masing di Birmingham.


“Saya mahu mereka berseronok macam masa mula-mula mereka menceburkan diri dalam sukan ini, bukan bermakna kita tak mahu mereka ambil serius tapi kita tak mahu memberi tekanan kepada mereka,” katanya.


Pada Kejohanan Dunia bulan lepas, Pandelela-Nur Dhabitah membanggakan negara selepas merangkul pingat gangsa acara 10 meter (m) platform seirama yang menyaksikan pasangan China meraih emas dan perak menjadi milik gandingan Amerika Syarikat.


Pandelela yang memenangi pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 dan gangsa Sukan Olimpik London 2012 turut membawa pulang gangsa dalam acara 10m platform individu.


Bagaimanapun, sukan terjun tidak berada dalam senarai sukan yang ditetapkan untuk mencapai sasaran tujuh emas dalam pengumuman dibuat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bulan lepas.


Shahrul Zaman berkata sasaran ditetapkan sebelum ini mengambil kira pandangan daripada setiap persatuan sukan mengenai unjuran pingat yang dirasakan mampu diraih.

“Bukan kita menidakkan (kemampuan), kita tak pernah menidakkan kebolehan atlet kita dan terbukti Pandelela serta Nur Dhabitah telah berjaya di peringkat dunia,” katanya.


Sementara itu, pembantu jurulatih kebangsaan Datuk Leong Mun Yee berkata skuad terjun menyasarkan dua pingat di Birmingham dan mengakui pingat emas bukan sesuatu yang mustahil untuk diraih.


Dalam perkembangan berasingan, Mun Yee berkata ketiadaan Nur Dhabitah pada sesi latihan hari ini disebabkan penerjun berusia 22 tahun itu tidak berada pada tahap kesihatan yang baik.


Skuad terjun kebangsaan ke Birmingham terdiri daripada 12 penerjun yang merupakan kumpulan atlet sama menggalas cabaran negara di Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam Mei lepas.


Sebagai rekod, skuad terjun membawa pulang satu emas menerusi pasangan Pandelela-Cheong Jun Hoong dalam acara 10m platform seirama wanita dan dua gangsa diraih gandingan Mun Yee-Nur Dhabitah dalam acara 10m platform seirama dan 3m papan anjal seirama pada edisi 2018 di Gold Coast, Australia.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post