Lelaki kurang siuman ceroboh gereja ditahan polis

Sebahagian patung di Gereja Katedral St Francis Xavier yang dirosakkan. Gambar kredit Diocese of Keningau


KENINGAU— Polis menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki kurang siuman menceroboh dan merosakkan salib serta patung di Gereja Katedral St Francis Xavier dekat sini, hari ini.

Ketua polis Daerah Keningau DSP Nor Rafidah Kasim berkata, pihaknya menerima laporan pada 10.01 pagi tadi mendakwa gereja itu telah dimasuki seorang individu tidak dikenali dan telah menyebabkan kerosakan sebanyak dua patung kiri dan kanan serta salib besar dijatuhkan dalam kejadian sekitar 7.30 pagi tadi.

“Siasatan awal mendapati gereja tersebut berada dalam kawasan berpagar tetapi pintu gereja dan pintu pagar tidak berkunci. Pemeriksaan terhadap sistem kamera litar tertutup (CCTV) juga didapati tidak berfungsi rosak.

“Siasatan lanjut telah membawa kepada penangkapan seorang lelaki warga tempatan berumur 34 tahun disyaki kurang siuman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, hasil ujian air kencing didapati suspek negatif dadah. 

Tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau untuk siasatan lanjut pihak polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan.

Beliau menggesa orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi terhadap gambar dan video yang tular di media sosial yang akan mengganggu siasatan pihak polis.

Terdahulu, Keuskupan Keningau memuat status melalui Facebook menyatakan Gereja Katedral St Francis Xavier dekat sini telah diceroboh oleh individu tidak dikenali pagi tadi.

Kejadian itu dipercayai berlaku selepas missa pagi tadi. Dalam kejadian sekitar 7.30 pagi tadi, individu terbabit telah merosakkan patung serta salib.

“Sehubungan itu, orang awam diharap bersabar dan berhenti membuat spekulasi serta andaian tidak tepat berhubung insiden ini kerana pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian,” katanya di Facebook.
Next Post Previous Post