Subseksyen 4(5) SOSMA dilanjut lima tahun lagi

Datuk Seri Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR— Usul lanjutan Subseksyen 4(5) Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) (Akta 747) untuk terus berkuat kuasa bagi tempoh lima tahun lagi mulai 31 Julai ini, diluluskan Dewan Rakyat hari ini.


Usul dibawa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin itu diluluskan setelah melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 111 Ahli Parlimen bersetuju manakala 88 tidak bersetuju dan 21 tidak hadir.


Subseksyen itu antaranya menyebut, seorang pegawai polis yang berpangkat Penguasa Polis atau berpangkat lebih tinggi daripada Penguasa Polis boleh melanjutkan tempoh tahanan untuk tempoh yang tidak lebih daripada 28 hari, bagi maksud penyiasatan.


Pada 23 Mac lepas, usul lanjutan Subseksyen 4(5) akta itu tidak diluluskan ketika dibentang pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Rakyat setelah melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 85 Ahli Parlimen bersetuju manakala 86 lagi tidak bersetuju.


Ketika sesi penggulungan usul itu, Hamzah bersetuju untuk melakukan pindaan ke atas Akta 747 supaya tidak ada lagi isu berbangkit mengenai penggunaan akta berkenaan.


Beliau berkata ini termasuk berhubung penangkapan ahli-ahli politik menerusi SOSMA.


“Saya merasakan boleh kita bincang dan perbincangan itu akan kita lakukan selepas ini untuk kita dapatkan secara terperinci gravity of offences supaya tidak timbul lagi masalah-masalah yang mengatakan ada berlakunya kezaliman di sini (Akta 747),” katanya.


Sesi penggulungan itu “panas” apabila beberapa ahli Parlimen pembangkang cuba mencelah jawapan Hamzah sehingga berlaku sedikit kekecohan.


Seramai 18 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam sesi perbahasan usul berkenaan dengan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) menentang usul itu antaranya mendakwa boleh berlakunya salah guna kuasa oleh pihak berkuasa menerusi akta itu.


Terdahulu, Hamzah ketika membentangkan usul berkenaan bagi bacaan kali kedua berkata Subseksyen 4(5) Akta 747 perlu dilanjutkan bagi menangani ancaman terhadap kedaulatan negara, keselamatan dan ketenteraman awam.


Beliau juga menegaskan akta itu memberikan keadilan buat orang yang ditahan termasuk peluang berjumpa dengan peguam dan kes-kes kesalahan keselamatan itu juga dibicarakan di Mahkamah Tinggi.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post