KPDNHEP serbu stesen minyak jual RON95 kepada kenderaan asing

Telah tular di media sosial seorang pemilik kenderaan berpendaftaran asing sedang mengisi RON95 di sebuah stesen minyak di Kuching hari ini. Gambar media sosial


KUCHING— Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak menyerbu sebuah stesen minyak di sini disyaki menjual minyak bersubsidi kepada kenderaan asing sehingga tular di media sosial hari ini.


Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri KPDNHEP Sarawak Peter J.Berinus Agang berkata, serbuan itu dilakukan oleh sepasukan pegawai penguatkuasa KPDNHEP diketuai beliau sendiri.


“Berdasarkan perkongsian di media sosial yang tular itu, KPDNHEP berjaya mengesan aktiviti penjualan minyak petrol bersubsidi kepada kenderaan asing.


Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut terhadap kes ini akan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” 


Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang di dapati bersalah termasuk mendakwa mereka di mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Peter menambah, pengusaha stesen minyak yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan  atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.


Manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.


“Untuk makluman, kementerian telah memutuskan semua kenderaan berpendaftaran asing tidak dibenarkan untuk mengisi minyak Petrol RON95.


Kenderaan berpendaftaran asing dibenarkan mengisi minyak Petrol RON97 ke tangki kenderaan yang digunakan di mana-mana stesen minyak,” katanya.


Dalam perkembangan berkaitan, seramai 176 pegawai Penguat kuasa KPDNHEP digerakkan di seluruh negeri untuk melaksanakan pemeriksaan dan penguatkuasaan di stesen-stesen minyak.


KPDNHEP Sarawak menyeru agar orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mana-mana orang atau pengusaha stesen minyak yang melanggar perundangan ini boleh menyalurkan aduan lengkap dengan nama dan lokasi stesen minyak serta bukti bergambar kepada pihak kementerian melalui saluran berikut:


i. WhatsApp 019-848 8000 / 019-279 4317

ii. Portal Aduan; e-aduan.kpdnhep.gov.my

iii. Call Centre 1-800-886-800

iv. Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my

v. Ez ADU KPDNHEP

Next Post Previous Post