Sempadan Brunei-Malaysia dibuka mulai 1 Ogos

Bandar Seri Begawan, Sempadan Brunei-Malaysia, dibuka mulai 1 Ogos
Sempadan Kuala Lurah, Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN— Brunei akan membuka semula sempadan laut dan darat kepada semua pelawat yang sudah lengkap divaksin bermula 1 Ogos ini.


Jawatankuasa Pandu COVID-19 negara itu dalam kenyataan media hari ini menetapkan warganegara asing untuk perjalanan masuk atau keluar negara  apa jua jenis perjalanan (sama ada melalui udara, darat atau air), sekurang-kurangnya sudah mendapat dua  dos vaksin.


“Walau bagaimanapun, warganegara asing yang hendak masuk ke negara ini adalah digalakkan untuk mendapatkan dos penggalak bagi menjaga keamanan, keselamatan dan kesejahteraan semua pihak.


“Manakala, definisi “vaksinasi penuh” bagi rakyat dan penduduk  tetap Brunei untuk perjalanan keluar negara sekurang-kurangnya mempunyai tiga  dos vaksin atau jika belum mendapatkan dos ketiga, mereka telah mendapatkan dos kedua dalam masa tidak lebih dari tiga bulan sebelum tarikh meninggalkan negara ini,” katanya dalam kenyataan.


Katanya, mereka yang masih belum mendapatkan atau melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 dan dos penggalak dinasihatkan berbuat demikian mengelakkan daripada gejala yang lebih teruk.


Selain itu rakyat dan penduduk tetap Brunei perlu mendapatkan Insuran Perubatan Perjalanan yang meliputi rawatan COVID-19 sebelum keluar negara dan mengisi borang Borang Deklarasi Ketibaan (ADF) sebelum memasuki atau kembali ke Negara ini.


Jawatankuasa Pandu COVID-19 katanya akan terus memantau keadaan semasa jangkitan COVID-19 di negara itu dengan langkah-langkah pengawalan yang bersesuaian untuk keselamatan semua pihak.


“Sebarang perubahan akan dimaklumkan kemudian. Maklumat terkini boleh didapati di laman sesawang Jabatan Perdana Menteri di alamat www.pmo.gov.bn/travelportal atau menghubungi travel hotline di talian 120 semasa waktu bekerja ataupun melalui e-mel kepada travelapplication@jpm.gov.bn,”kata kenyataan itu.

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.