Sekolah daif di Sarawak telah dikenal pasti lima tahun lalu

Isu sekolah daif di Sarawak sudah dikenal pasti lima tahun lalu kata Abun Sui Anyit (gambar sisipan). Gambar sekolah kredit FB Usun Ng

KUCHING— Hanya kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang serius dalam menangani masalah sekolah daif di Sarawak.


Ketua Cabang Keadilan Hulu Rajang Abun Sui Anyit berkata, sekolah daif di Sarawak telah dikenal pasti sejak lima tahun lalu.


“Semasa era PH, menteri ketika itu Dr. Mazlee Malek dilihat ada tekad politik untuk menyelesaikan masalah tersebut.


Namun setelah kejatuhan kerajaan PH, usaha itu seolah-olah tidak diteruskan. Tiada tindakan jitu dibuat untuk mengatasi masalah sekolah daif ini.


“Mungkin kerajaan menggunakan pandemik Covid-19 sebagai alasan tidak membaiki sekolah daif.


Namun sejak April 2022 lepas, berapakah sekolah daif yang telah atau sedang dibaiki?,” katanya dalam kenyataan kepada Borneo Network.


Sebelum ini, Free Malaysia Today dipetik berkata, kerajaan telah mengenal pasti sebanyak 351 sekolah daif di Sarawak dengan 107 daripadanya tidak selamat digunakan.


Abun merangkap Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Keadilan Malaysia berkata, semua pihak terutama kerajaan persekutuan harus segera membina sekolah di tempat yang selamat.


“Kerajaan Sarawak pula dengan segera berikan tapak bergeran untuk sekolah-sekolah yang memerlukan tapak baru jika tapak lama tidak selamat atau sering dilanda banjir,” katanya.


Sekolah Kebangsaan (SK) Metalun, SK Tegulang dan SK Lusong Laku contohnya perlu dibina baru bangunan sekolah, kata Abun.


Menurut beliau, selain itu SK Punan Bah yang perlu bangunan lebih selamat dan padang bola sepak baru.


“Saya berharap masalah sekolah daif ini tidak dipermainkan seperti bola. Kerajaan sedia ada atau Kerajaan yang sedang memerintah wajar membaiki sekolah daif ini tanpa tertangguh lagi, katanya.

Next Post Previous Post