-->

Notification

×

Iklan

Iklan

KKM rampas produk kesihatan tidak berdaftar bernilai lebih RM2.5 juta

| Julai 28, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-07-28T13:12:06Z
Sebahagaian produk kesihatan tidak berdaftar yang dirampas. Gambar kredit KKM

KUALA LUMPUR—Kementerian Kesihatan (KKM) telah merampas produk farmaseutikal tidak berdaftar dianggarkan berjumlah RM2,652,500 serta mengesan 2,438 pautan di laman sesawang menjual produk farmaseutikal tidak berdaftar di seluruh negara, dalam operasi Pangea XV yang dijalankan dari 23 Jun hingga 1 Julai lalu.


Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata operasi yang diselaraskan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, KKM dan melibatkan beberapa agensi lain seperti National Central Bureau/Interpol Malaysia, CyberSecurity Malaysia dan Pos Malaysia telah memeriksa sebanyak 1,059 bungkusan pos.



“Daripada jumlah itu, 73 bungkusan pos didapati mengandungi 315,916 unit produk farmaseutikal yang tidak berdaftar dan telah dirampas yang dianggarkan bernilai sebanyak RM887,024,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Dr Noor Hisham berkata kira-kira 70 peratus produk farmaseutikal yang dirampas adalah terdiri daripada ubat-ubatan terkawal di bawah Akta Racun 1952, dan 90 peratus ubat-ubatan yang dirampas di kategori bahan psikotropik manakala selebihnya adalah antibiotik, ubat tahan sakit, ubat selesema dan batuk serta lain-lain yang tidak berdaftar dengan KKM.


“Kebanyakan ubat-ubatan terkawal ini diseludup masuk dari negara Bangladesh, India dan beberapa negara lain. Pemeriksaan dijalankan di semua pintu masuk utama di seluruh negara melibatkan kargo udara, lapangan terbang, pos sempadan dan terminal feri,” katanya.


Dr Noor Hisham berkata sebanyak 75 premis yang menjual produk farmaseutikal tidak berdaftar termasuk rumah kediaman, salon kecantikan, gimnasium dan kedai menjual barangan haiwan, telah diserbu dalam operasi tersebut.


Katanya, sebanyak 244,299 unit produk farmaseutikal yang menyalahi peruntukan undang-undang telah dirampas untuk tindakan lanjut, dengan nilai rampasan dianggarkan RM1,707,040.


“Dalam beberapa siri serbuan yang lain, KKM turut merampas ubat terkawal seperti analgesik dan antibiotik. Turut dijumpai suplemen kesihatan, vitamin dan produk tradisional yang tidak berdaftar dengan KKM.


“Dalam serbuan berasingan, Pihak Berkuasa Peranti Perubatan telah berjaya merampas sebanyak 26,400 unit sarung tangan getah dan 94 unit ujian RTK COVID-19 yang tidak berdaftar,” katanya.


Sementara itu, berhubung laman sesawang menjual produk farmaseutikal tidak berdaftar terbabit, Dr Noor Hisham berkata pihaknya telah memohon pautan itu untuk disekat akses oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan penyedia platform.


“Bagi ‘Dark web’ pula, senarai pautan telah diserahkan kepada pihak Interpol untuk tindakan selanjutnya. Di samping itu, sebanyak 686 peranti perubatan seperti pelitup muka, termometer, oximeter dan monitor tekanan darah, dikesan dijual tanpa kelulusan daripada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan di laman sesawang,” katanya.


Di peringkat global, Dr Noor Hisham memaklumkan pihak penguatkuasa membuat lebih daripada 7,800 rampasan ubat-ubatan dan produk penjagaan kesihatan yang menyalahi undang-undang, dengan jumlah rampasan melebihi daripada tiga juta unit.


“Pihak penguatkuasa juga telah menyiasat lebih daripada 4,000 pautan laman sesawang, terutamanya daripada platform media sosial dan aplikasi pesanan ringkas. Kesemua pautan tersebut telah disekat akses atau diturunkan kandungan.


“Selain itu, pihak penguatkuasa juga telah memeriksa hampir 3,000 bungkusan pos di 280 hab pos di lapangan terbang, sempadan dan pengedaran mel atau pusat mel kargo di negara-negara terlibat dalam Operasi Pangea, dengan lebih 600 siasatan baharu telah dibuka termasuk 200 waran geledah telah dikeluarkan,” tambahnya.


Operasi Pangea merupakan satu tindakan kolektif di peringkat antarabangsa bagi memerangi penjualan ubat-ubatan dan produk perubatan yang dijual secara haram, di mana hampir separuh daripada keseluruhan bungkusan yang diperiksa oleh penguatkuasaan undang-undang di 94 negara di seluruh dunia, didapati mengandungi ubat-ubatan yang menyalahi peruntukan undang-undang.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update