Sarawak mujur tidak kena serpihan roket China


KUCHING—Sarawak bernasib baik kerana serpihan roket Long March 5B milik China hanya melintasi ruang udara dan tidak jatuh di negeri ini.


Menteri Kanan Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, serpihan terbabit dilaporkan jatuh di Laut Sulu.



"Nasib baik tak jatuh di Sarawak. Setakat ini Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) sedang memantau rapi kesan serpihan itu.


"Itu bukan kepakaran saya, namun setakat ini tiada kesan memandangkan ia jatuh di Laut Sulu,"katanya kepada pemberita selepas Majlis Penangguhan Festival Maal Hijrah 1444H/2022M di Masjid Jamek Negeri Sarawak, Petra Jaya, di sini, hari ini.


Beliau mengulas sama ada serpihan terbabit mengandungi bahan beracun yang mungkin mencemari ruang udara Sarawak.



Terdahulu BERNAMA melaporkan, kemasukan semula serpihan (debris) roket Long March 5B milik China ke ruang udara bumi dikesan berlaku pada 12.55 pagi (31 Julai), demikian menurut Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).


MYSA menerusi pemantauan berterusan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan kenyataan Agensi Angkasa China memaklumkan serpihan roket berkenaan telah terbakar semasa memasuki ruang udara bumi dan pergerakan serpihan yang terbakar itu turut melintasi ruang udara Malaysia dan dapat dikesan di beberapa kawasan termasuk ruang udara Sarawak.


"Sisa serpihan itu direkodkan jatuh di sekitar Laut Sulu iaitu kawasan antara latitud 9.1 darjah Utara dan longitud 119.0 darjah Timur, hari ini," menurut MYSA dalam kenyataan hari ini.


Tular di media sosial mengenai perkongsian warga maya mengenai rakaman video dipercayai serpihan roket berkenaan yang berlaku di Kuching, Sarawak awal pagi tadi.

Next Post Previous Post