-->

Notification

×

Iklan

Iklan

Polis tahan lelaki langgar kenderaan JPJ guna jengkaut

| Julai 01, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-07-01T01:55:06Z
Gambar media sosial 

KENINGAU—Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 60an bagi membantu siasatan kes menghalang dan menggunakan kekerasan terhadap penjawat awam iaitu anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan kewajipannya, dalam kejadian di sini petang semalam.


Ketua Polis Daerah Keningau DSP Nor Rafidah Kasim berkata polis menerima laporan kejadian itu pada pukul 6.32 petang itu dan siasatan awal mendapati anggota JPJ Cawangan Keningau telah menahan dan membuat pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan berat jenis pengorek kaut (backhoe) yang mencurigakan.


“Pemeriksaan dijalankan mendapati terdapat kesalahan. Semasa saman hendak dikeluarkan pemandu tidak berpuas hati dan marah, dengan bertindak melanggar kenderaan pasukan JPJ yang dinaiki petugas hingga menyebabkan kerosakan pada kenderaan tersebut.


“Petugas (JPJ) sempat menyelamatkan diri dan tiada kecederaan terhadap petugas semasa kejadian. Polis menahan pemandu lelaki tempatan itu dan merampas kenderaan ‘backhoe’ tersebut,” katanya dalam kenyataan malam ini.


Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 186/353 dan 427 Kanun Keseksaan.


Nor Rafidah turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai video kejadian tersebut yang tular di media sosial, yang akan menggangu siasatan pihak polis.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update