Pesara polis sesak nafas maut, kereta dipandu bergesel bas sekolah

Keadaan kereta yang dipandu Mohd Razli Haron selepas kemalangan di Taman Green Acres Estate semalam. Gambar kredit PDRM

KUCHING—Pesara polis maut selepas kereta dipandu kemalangan dengan bas sekolah di persimpangan Taman Green Acres Estate Jalan Batu Kawa - Malihah di sini, tengah hari semalam.


Dalam kejadian jam 12.55 tengah hari itu, Mohd Razli Haron, 61, berpangkat Sarjan dan tempat terakhir bertugas di  Balai Polis Mambau, Negeri Sembilan dari Taman Sri Moyan 2, Jalan Matang Batu Kawa maut di tempat kejadian.


Anaknya berusia 11 tahun yang menumpang kereta tersebut serta pemandu bas berusia 48 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.


Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kemalangan berlaku semasa mangsa menghala ke rumahnya.


"Apabila sampai di Jalan Batu Kawa-Malihah berhampiran persimpangan Taman Green Acres Estate ketika sedang bergerak lurus tiba-tiba kereta dipandu telah hilang kawalan kerana mengalami sesak nafas.


"Kejadian itu menyebabkan mangsa  tidak sedarkan diri mengakibatkan kereta begesel dengan bas yang berhenti di kepala simpang sebelah kiri," katanya dalam kenyataan hari ini.


Katanya,akibat dari pelanggaran kereta mangsa  terbabas ke bahu kiri jalan dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan bertugas. 


"Mangsa kemudian telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan selanjutnya. 


"Kes masih dalam siasatan lanjut, kenderaan terlibat ke dibawa ke Balai Trafik IPD Padawan untuk pemeriksaan Puspakom  dan Jabatan Kimia," ujarnya.


Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) APJ 1987.

Next Post Previous Post