Polis tahan 25 individu, rampas barang seludup hampir RM2 juta

Kamarul Zaman menunjukkan sebahagian rampasan selepas sidang media di Ibu Pejabat Polis Seri Alam, di sini hari ini. Gambar FB Polis Johor

JOHOR BAHRU—Polis menahan 25 lelaki dipercayai terlibat dalam pelbagai aktiviti penyeludupan minyak diesel, minyak masak, rokok dan arak menerusi 14 serbuan yang dijalankan di seluruh negeri itu sejak Rabu lepas.


Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata daripada jumlah itu, 16 orang merupakan warga tempatan manakala selebihnya warga asing berusia antara 20 dan 53 tahun. 


Beliau berkata operasi tersebut yang bermula pada 7.15 pagi 20 Julai sehingga 2 pagi tadi, melibatkan 14 serbuan di sekitar Mersing, Seri Alam, Muar, Tangkak, Iskandar Puteri, Kota Tinggi, Segamat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru.


"Antara yang dirampas 4,012 paket minyak masak bersubsidi; 158,380 liter minyak diesel; 215 karton rokok pelbagai jenama dan 50 botol arak pelbagai jenama.


"Turut dirampas 15 lori, satu lori tangki, dua van dan lain-lain lagi dengan jumlah nilai rampasan hampir RM2 juta," kata beliau dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Seri Alam, di sini hari ini.


Kamarul Zaman berkata semakan rekod ke atas 25 individu terbabit mendapati mereka tiada rekod jenayah dan dadah, manakala kesemua sembilan warga asing didapati menyalahgunakan dokumen perjalanan masing-masing.


Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau RM10,000 sehingga tidak lebih 20 ganda nilai suapan atau RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.


Selain itu, kes juga disiasat di bawah Seksyen 6(1)(C) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan sebatan tidak lebih enam kali.


Menurutnya kesemua mereka turut disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 22 (1) akta yang sama dengan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post