-->

Notification

×

Iklan

Iklan

Perdana Menteri baharu UK diumum 5 September

| Julai 12, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-07-12T06:09:13Z
Johnson terpaksa melepaskan jawatannya pada Khamis susulan perletakan jawatan menteri Kabinet dan pegawai kerajaan yang lain. Gambar Twitter @BorisJohnson

LONDON—Perdana Menteri baharu United Kingdom (UK) yang menggantikan Boris Johnson bakal diumum pada 5 Sept, kata pengerusi jawatankuasa 1922 Parti Konservatif Graham Brady pada Isnin.


Brady berkata Jawatankuasa 1922, yang mengadakan pemilihan Tory memutuskan bahawa calon perlu mendapat sokongan sekurang-kurangnya 20 Ahli Parlimen ketika pencalonan dibuka pada Selasa, lapor Xinhua.


Pusingan pertama pengundian dalam kalangan Ahli Parlimen Tory akan diadakan pada Rabu, sambil menambah calon perlu memperoleh 30 undi bagi melayakkan diri ke pusingan kedua yang akan berlangsung pada Khamis.


Hanya dua calon akan ke pusingan seterusnya sebelum persidangan Parlimen ditangguhkan pada 21 Julai, katanya.


Dua calon itu kemudiannya akan melalui undi pos dalam kalangan ahli Konservatif seramai kira-kira 200,000 orang dan pemenang akan menjadi pemimpin baharu Tory sekali gus dilantik sebagai perdana menteri baharu UK. 


"Kami perlu memastikan tempoh masa yang mencukupi sebelum keputusan diumumkan pada 5 September," tambahnya.


Setakat ini, 11 calon telah mencalonkan diri merebut jawatan pemimpin Parti Konservatif, termasuk Menteri Perdagangan Antarabangsa Penny Mordaunt, Setiausaha Luar Liz Truss, bekas Canselor Perbendaharaan Rishi Sunak, dan bekas Setiausaha Kesihatan Sajid Javid. 


Kebanyakan calon telah berikrar untuk mengurangkan cukai, susulan kos sara hidup yang semakin menghimpit.


Johnson terpaksa melepaskan jawatannya pada Khamis susulan perletakan jawatan menteri Kabinet dan pegawai kerajaan yang lain sebagai protes terhadap kepimpinannya. 


Beliau akan terus berkhidmat sebagai perdana menteri sementara sehingga pemimpin Tory baharu dipilih. 


Johnson, yang memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya umum pada 2019, hilang sokongan selepas terpalit dengan pelbagai skandal, termasuk Partygate dan skandal Pincher membabitkan salah laku seksual.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update