Penghantar barang dipenjara 14 hari, denda RM15,000 kerana rasuah

Penghantar barang dipenjara, Rasuah, Habib Rahman, Berita Malaysia

KUALA LUMPUR—Seorang penghantar barang dihukum penjara 14 hari dan didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana menerima suapan RM3,000 untuk meluluskan invois cukai bagi pembayaran perkhidmatan keselamatan.


Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman itu ke atas Habib Rahman Anwar Basha, 48, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah ketika sebutan kes itu hari ini dan memerintahkan lelaki itu dipenjara 10 bulan, sekiranya gagal membayar denda.


Habib Rahman, yang ketika itu bertugas sebagai pembantu perkhidmatan bangunan di sebuah syarikat didakwa menerima suapan berjumlah RM3,000 daripada S. Kumaran, 48, yang ketika itu pengarah Syarikat G15 Security Sdn Bhd sebagai upah untuk meluluskan invois cukai pembayaran perkhidmatan keselamatan bagi Disember 2016 yang dikemukakan oleh syarikat itu.


Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Pandan Indah di sini pada 10.22 malam, 29 Mei 2017.


Dia didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi. 


Mengikut fakta kes, tertuduh meminta Kumaran membayar 'komisen' sebanyak RM3,000 kepadanya bagi tuntutan Disember 2016, menyebabkan pengarah itu membuat aduan kepada SPRM.


Rakaman perbualan telefon antara tertuduh dan pengadu dirakam oleh pihak SPRM dan hasil rakaman mendapati tertuduh mempunyai niat untuk mengambil wang rasuah berjumlah RM3,000 di sebuah bank di Jalan Pandan Indah, pada kira-kira 10 malam.


Semasa ditahan SPRM, tertuduh telah mengeluarkan satu ikatan wang yang berlipat daripada poket kanan baju Melayunya dan wang itu merupakan wang yang diterima daripada pengadu.


Terdahulu, peguam Datuk Zailan Mohamed yang mewakili Habib Rahman merayu hukuman ringan atas alasan anak guamnya perlu menyara empat anak dan seorang isteri yang sakit.


“Jika dia dikenakan hukuman penjara dalam tempoh yang lama, ia akan menjejaskan pendapatannya untuk menyara keluarga,” katanya dan menyatakan anak guamnya kini bekerja sebagai penghantar barang.


Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nor Diana Nor Azwa memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana kesalahan itu adalah serius.


“Mahkamah perlu mengambil kira faktor kepentingan awam dengan mengenakan hukuman berbentuk pengajaran terhadap tertuduh dan peringatan kepada orang awam agar tidak mengulangi kesalahan sama di masa depan.


“Kami mohon mahkamah mengambil kira jenayah yang dilakukan adalah dirancang dan ia boleh dilihat menerusi siri perbualan tertuduh dengan pengadu sebelum ini,” katanya.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.