Dua maut rempuh treler berhenti di lorong kecemasan

Kemalangan di KM126 Lebuhraya Pantai Timur Satu (LPT1) berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh awal pagi tadi. Gambar kredit JBPM Pahang

KUANTAN— Seorang lelaki dan wanita maut apabila kereta Perodua Myvi dinaiki mereka dipercayai merempuh belakang treler yang berhenti di lorong kecemasan di KM126 Lebuhraya Pantai Timur Satu (LPT1) berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh awal pagi tadi. 


Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang Zulfadli Zakaria berkata mereka yang maut ialah pemandu kereta, Tan Wee Li, 39, dari Cheras, Kuala Lumpur dan penumpangnya, Nur Susilawati Che Deraman, 35, yang beralamat di Sungai Lembing, Kuantan.


Pemandu dan kelindan treler bagaimanapun tidak mengalami kecederaan. 


Zulfadli berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada 2.47 pagi dengan kedua-dua mangsa tersepit dalam kenderaan tersebut yang remuk sepenuhnya di bahagian hadapan. 


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata kejadian dipercayai berlaku apabila Tan gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas dan melanggar bahagian belakang lori. 


"Lori itu dipercayai berhenti di situ kerana mengalami masalah suhu enjin panas. Kedua-dua mangsa disahkah cedera parah pada bahagian kepala," katanya dalam kenyataan. 


Beliau berkata mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk bedah siasat selepas keputusan ujian saringan COVID-19 diperoleh dan kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 


-- BERNAMA 

Next Post Previous Post