Notification

×

Iklan

Iklan

Pelajar IPTA rugi RM18,193 ditipu tawaran kerja online

| Julai 16, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-07-16T09:23:50Z

JOHOR BAHRU—Seorang pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mengalami kerugian berjumlah RM18,193 selepas ditipu sindiket penawaran kerja menerusi satu platfrom e-Dagang yang menjanjikan pulangan komisen dalam masa singkat.


Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pelajar lelaki berusia 22 tahun itu, semalam.


Beliau berkata ia bermula apabila pelajar berkenaan tertarik dengan iklan pekerjaan dalam talian di laman sosial yang menggunakan platfrom e-Dagang dan mula berkomunikasi dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp untuk berbincang mengenai pekerjaan itu. 


"Pelajar itu diyakinkan yang dia hanya perlu mengeluarkan modal awal untuk pembelian barangan tertentu dan modalnya nanti akan dibayar serta merta berserta 10 peratus komisen," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata tertarik dengan tawaran berkenaan, lelaki itu telah membuat pindahan wang ke tiga akaun bank tempatan yang berbeza sebagaimana arahan pihak sindiket itu. 


Bagaimanapun beliau berkata pelajar itu merasakan dirinya telah ditipu selepas pihak berkenaan mengarahkannya membuat bayaran modal tambahan, sedangkan bayaran modal dan komisen terdahulu belum diterima.


Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Kamarul Zaman berkata seorang warga emas tempatan mengalami kerugian RM529,300 selepas terpedaya dengan penipuan 'Macau Scam', apabila dihubungi seorang lelaki kononnya anggota polis yang mendakwa dia terlibat dengan kegiatan penggubahan wang haram. 


Menurut beliau ia bermula apabila bekas pekerja di sebuah syarikat swasta berumur 85 tahun itu dihubungi lelaki berkenaan pada pertengahan Mei lepas yang memaklumkan bahawa akaun banknya akan disiasat oleh pihak berkuasa. 


"Warga emas itu mengikut arahan lelaki berkenaan dengan memindahkan kesemua wangnya ke dalam satu akaun bank miliknya yang lain dan seterusnya menyerahkan akses perbankan dalam talian akaun berkenaan kepada lelaki itu. 


"Rabu lepas, warga emas itu telah membuat semakan terhadap akaunnya dan mendapati wang telah dikeluarkan tanpa pengetahuannya dan dibayar kepada beberapa pihak yang tidak dikenali," katanya sambil menambah setelah sedar dirinya ditipu, mangsa membuat laporan polis Khamis lepas.


-- BERNAMA 

×
Berita Terbaru Update