Harga minyak masak tidak bersubsidi dijangka turun
KOTA BHARU— Harga minyak masak tidak bersubsidi dijangka turun dalam tempoh dua minggu lagi, kata Pengerusi Pasukan Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa.
Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata pihaknya telah memanggil semua pengilang yang terlibat termasuk Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Majlis Minyak Masak Sawit Malaysia (MPOC) pada Selasa lepas sebagai badan yang mengawal kuota dan lesen pengilang.
"Selepas dua minggu dari tarikh saya bertemu mereka, saya mahu tengok harga minyak turun.
"Saya tidaklah memaksa, cuma pada masa ini saya mahu industri ada rasa tanggungjawab dan jangan biarkan kerajaan terkial-kial dengan masalah sebab akhirnya syarikat juga yang menentukannya," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan harga barangan di Pasar Ketereh, di sini hari ini.
Mengulas lanjut Annuar berkata pihak industri telah bersetuju untuk menurunkan harga minyak masak dan pengilang yang terbabit membayangkan penurunan harga itu akan dipendekkan secara berperingkat iaitu lima hingga 10 peratus.
Dalam perkembangan lain, Annuar berkata inflasi yang sedang dihadapi kini adalah inflasi yang sudah diduga kerana ia berlaku secara global.
Beliau berkata pasca-COVID-19 membolehkan aktiviti sudah berjalan semula namun berlaku peningkatan permintaan pelbagai industri sedangkan pengeluaran tidak pulih sepenuhnya.
"Selain itu, peperangan di luar negara menjejaskan perdagangan dan inflasi tersebut berlaku bergantung kepada dasar-dasar kewangan serta monetari polisi negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat," katanya.
-- BERNAMA
PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.