Ops Hire: Tiga lagi individu ditahan reman bantu siasatan


PURTAJAYA—Seramai tiga lagi individu termasuk seorang wanita ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) melibatkan nilai keseluruhan kira-kira RM100 juta.


Daripada tiga individu tersebut, seorang suspek yang merupakan pengarah syarikat ditahan reman selama empat hari mulai hari ini sehingga 22 Julai 2022 selepas Majistret Mohd. Dinie Shazwan Ab. Shukor membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.


Di Pahang pula, dua suspek yang merupakan pengurus syarikat ditahan reman selama lima hari mulai hari ini sehingga 23 Julai 2022 selepas Majistret Nor Izzati Zakaria membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Kuantan hari ini.


Menurut sumber, pengarah syarikat berusia 46 tahun berkenaan ditahan di Ibu Pejabat SPRM kira-kira pukul 8.30 malam semalam kerana dipercayai mengemukakan Borang Pengesahan Pekerja secara dalam talian yang mengandungi butir matan palsu berjumlah melebihi RM1 juta kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi memperolehi peruntukan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) untuk melaksanakan Program Insentif Pengambilan Pekerja & Program Latihan sedangkan program itu tidak dilaksanakan sepenuhnya.


Tambah sumber, dua lagi suspek iaitu pengurus syarikat yang masing-masing berusia 46 dan 35 tahun pula ditahan di Pejabat SPRM Pahang kira-kira pukul 4.30 petang semalam kerana dipercayai terlibat dengan kesalahan mengemukakan tuntutan palsu kepada PERKESO bagi tujuan sama melibatkan nilai melebihi RM600,000.


Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.


Tambahnya, operasi dan siasatan masih diteruskan serta tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan lagi akan dibuat dalam masa terdekat.


Pada 14 Julai lalu, SPRM telah menahan 37 individu di beberapa buah negeri bagi membantu siasatan berkaitan isu tersebut dan tiga lagi individu ditahan di Johor dan Pulau Pinang sehari kemudian bagi membantu siasatan kes yang sama.


Semalam, dua lagi individu yang merupakan ketua pegawai eksekutif serta pengarah syarikat ditahan bagi membantu siasatan dan setakat ini, jumlah keseluruhan suspek yang ditahan menerusi Ops Hire adalah seramai 45 individu.

Next Post Previous Post