Dua skim penipuan pelaburan dikesan babit kerugian hampir RM2 juta

Dua skim penipuan, Skim pelaburan, Kerugian hampir RM2 juta, Penipuan di platform WhatsApp, Telegram

KUALA LUMPUR—Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat dua skim penipuan pelaburan yang sedang aktif mencari mangsa di platform WhatsApp dan Telegram melibatkan kerugian hampir RM2 juta.


Setiausaha Polis Malaysia Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata sehingga semalam pihaknya telah membuka masing-masing 22 kertas siasatan dan 48 kertas siasatan ke atas skim pelaburan terbabit.


Setakat semalam beliau berkata kerugian satu daripada skim pelaburan itu mencecah RM708,400 sementara kerugian satu skim lagi ialah RM661,672.16.


Noorsiah berkata dalam satu kenyataan hari ini kesemua kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.


Beliau berkata berdasarkan siasatan, kedua-dua skim pelaburan ini menggunakan aplikasi Telegram dan WhatsApp untuk mencari mangsa dengan menjanjikan pulangan sekitar 50 hingga 100 peratus dalam tempoh tiga hingga enam jam setelah pelaburan dibuat.


“Mangsa yang berminat akan diminta untuk membuat pendaftaran melalui pautan yang diberikan seterusnya membuat pindahan wang ke dalam akaun yang diberikan oleh pihak sindiket.

Mangsa kemudiannya akan dimaklumkan telah mendapat keuntungan namun dikenakan pelbagai syarat tambahan sekiranya ingin membuat pengeluaran,” katanya.


Noorsiah menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan melaksanakan semakan yang lebih terperinci sebelum menyertai skim pelaburan terutama yang menjanjikan keuntungan terlalu lumayan.


“Maklumat lanjut mengenai tawaran pelaburan boleh diperolehi dari sumber-sumber rasmi seperti Semak Mule, Bank Negara, Suruhanjaya Sekuriti serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sebelum membuat keputusan untuk menyertai apa jua skim pelaburan,” katanya.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.