Panik dituduh terlibat kes wang haram, guru rugi RM284,800

Gambar hiasan

BINTULU—Gara-gara panik digertak terlibat dalam penggubahan wang haram, seorang guru wanita di sini mengalami kerugian apabila wang simpanannya sebanyak RM284, 800 lesap akibat diperdaya anggota sindiket Macau Scam.


Mangsa berusia 42 tahun itu mula diperdaya selepas menerima panggilan  daripada  seorang individu pada 14 Januari lalu kononnya wakil daripada sebuah syarikat nsurans yang mendakwa mangsa mempunyai tuntutan insurans kemalangan sebanyak RM68, 000.


Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Batholomew Umpit berkata, mangsa menafikan perkara tersebut, bagaimanapun talian mangsa disambungkan kepada seorang individu yag menyamar sebagai polis dari Balai Polis Pudu kononnya boleh membantu mangsa menafikan tuntutan itu.


“Mangsa diberitahu terlibat dalam penggubahan wang haram menggunakan 25 akaun atas namanya dan satu daripadanya sudah dibekukan.


Mangsa juga diminta menukar kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM), membuka bank akaun baharu, mengemas kini telefon baharu termasuk menggadaikan emas. Mangsa mengikut semua arahan daripada suspek kerana bimbang dikenakan undang-undang,” katanya dalam kenyataan.


Beliau menambah, mangsa yang tertekan turut melakukan dua pinjaman peribadi dan memindahkan kesemua wang pinjaman ke akaun bank yang sama.


“Mangsa hanya sedar dirinya menjadi mangsa penipuan selepas melakukan pemeriksaan akaun bank pada 15 Julai dan mendapati baki terkini hanya tinggal RM72.43,” katanya sambil menambah mangsa kemudian membuat laporan polis.


Sehubungan itu, Batholomew menasihatkan orang awam agar sentiasa berhati-hati dengan penipuan scammer yang berlaku dan tidak mendedahkan data peribadi terutama panggilan dari individu tidak dikenali.


Sebaik-baiknya jelas beliau, lakukan semakan nombor telefon dan akaun bank suspek melalui Check Scammers CCID atau melalui laman web http://semakmule.rmp.gov.my atau menghubungi CCID Scam Response Center di talian 03-2610 1559/ 03-2610 1599 atau Commercial Crime Investigation Department (CCID) Infoline di talian 013-211 1222.

Next Post Previous Post