Mayat dua mangsa lemas di Kapit ditemukan, SAR ditamat


SIBU--Mayat dua mangsa lemas selepas perahu yang dinaiki karam semasa melintasi salah satu jeram di kawasan Pelagus, Batang Rajang, Kapit dekat sini, semasa dalam perjalanan untuk menjala ikan, petang kelmarin telah dijumpai.


Warga emas Ngalang Demong,73, dijumpai pada jam 5 pagi oleh pekerja kapal muatan batu yang lalu di lokasi penemuan mayat tersebut. 



Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata,mayat kedua, Richelles Seli Lasu,21, dijumpai pada jam 3.30 petang ini, satu kilometer dari lokasi kejadian oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR). 


"Mayat kedua-dua mangsa telah dikenal pasti dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. 


Dengan penemuan mayat kedua itu operasi SAR ditamatkan jam 5.50 petang ini," katanya dalam kenyataan hari ini.



Dalam kejadian itu, dua lelaki hilang dikenali Ngalang Demong, 73, dan Richelles Seli Lasu.


Menurut saksi, kejadian tersebut berlaku semasa saksi bersama datuknya Ngalang Demong dan bapa saudara Richelles Seli Lasu dalam perjalanan menjala ikan dari rumah panjang di Nanga Pelagus, Kapit.


Sebelum melintasi salah satu jeram di kawasan Pelagus , saksi diminta turun dari perahu dan berjalan kaki mengikut laluan pejalan kaki di tebing sungai. Manakala datuk dan bapa saudaranya bergerak menggunakan perahu.


Semasa melintasi jeram tersebut, saksi melihat perahu yang dinaiki mereka karam dan kedua-dua mangsa hilang.

Next Post Previous Post