Aug 2022: Juara keseluruhan acara badminton milik Malaysia

Aksi Rui Chen (kiri) dan Lexuan (kanan) meraih pingat emas beregu wanita selepas menang ke atas Desiree-Qi Xuan pada aksi final di Dewan Badminton Universiti Ubon Ratchathani Rajabhat hari ini. Gambar kredit KOSMO

UBON RATCHATHANI— Malaysia muncul juara keseluruhan bagi acara badminton selepas skuad negara terus mendominasi sukan itu pada saingan Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 dengan menambah dua pingat emas menerusi kategori individu hari ini.


Koleksi dua emas diraih negara itu sekali gus menyaksikan kem badminton negara membawa pulang empat daripada tujuh pingat emas yang ditawarkan.


Emas pertama negara diperoleh menerusi pemain perseorangan lelaki negara Faiz Rozain yang mudah menewaskan wakil Indonesia Muhammad Rafi Zafran Ferary 21-13, 21-8 dalam perlawanan yang berlangsung di dewan badminton Universiti Ubon Ratchathani Rajabhat di sini.


Pada Khamis lepas, penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia itu turut meraih pingat emas bagi acara berpasukan lelaki.


“Alhamdulillah, sasaran saya untuk raih dua emas di AUG pertama tercapai. Dalam perlawanan akhir, saya berikan segala-galanya dan dapat membaca setiap pergerakan lawan.


“Saya banyak terima tunjuk ajar di bawah kendalian jurulatih (Datuk Rashid Sidek), pengalaman beliau juga membantu saya pada kali ini,” katanya kepada pemberita.


Kecemerlangan kem badminton kemudian disambung menerusi gandingan wanita Teoh Lexuan-Yap Rui Chen yang menyumbang emas kedua apabila menewaskan rakan senegara Desiree Siow Hao Shan-Ng Qi Xuan 18-21, 22-20, 21-11.


Malaysia berpeluang menggandakan dua lagi pingat emas namun tidak kesampaian selepas beregu lelaki dan beregu campuran masing-masing tewas kepada gandingan Indonesia.


Mohammad Faris Zaim Abdul Khalid-Ameer Amri Zainuddin tewas straight set 13-21, 18-21 kepada Muhammad Nendi Novatino-Reza Dwichaya Purnama.


Tan Kok Xian-Desiree pula tewas straight set 20-22, 21-23 kepada Dwiki Rafian Restu-Elizabeth Jovita.


-- BERNAMA 

Next Post Previous Post