-->

Notification

×

Iklan

Iklan

Peminjam ambil upah bakar, simbah cat lunas hutang ah long

| Julai 31, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-07-31T13:10:15Z
Kamarul Zaman menunjukkan barang yang dirampas daripada suspek. Gambar kredit IPK Johor

JOHOR BAHRU--Seramai 11 individu dipercayai ahli sindiket along yang melakukan khianat menggunakan api dan menyimbah cat terhadap rumah mangsa yang gagal membayar pinjaman, ditahan dalam serbuan di sekitar Pelangi Indah di sini ini dan Iskandar Puteri, pada 28 dan 29 Julai lepas.


Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata 10 warga tempatan terdiri daripada sembilan lelaki dan seorang wanita serta seorang lelaki Indonesia berusia antara 19 hingga 46 tahun, dipercayai ahli daripada dua sindiket yang berbeza, ditahan hasil risikan dan maklumat orang awam.


Beliau berkata hasil siasatan mendapati ahli sindiket menerima upah sebanyak RM450 hingga RM800 dan ada antaranya turut didapati meminjam wang dan bekerja dengan sindiket tersebut bagi melunaskan hutang mereka.


“Kita dapati ada (individu yang meminjam wang) yang terjebak (sindiket along) menjadi penyimbah cat dan khianat dengan api kerana tidak mampu bayar dan tidak ada kerja selepas buat pinjaman along untuk jelaskan hutang dan jumlah hutang itu akan ditolak.


“Kita mahu sindiket sebegini tahu bahawa kes seperti ini kita ambil berat dan kegiatan ini akan dibanteras,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.


Beliau berkata menerusi tangkapan itu pihaknya berjaya menyelesaikan sebanyak 10 kes khianat dengan api dan simbah cat di negeri ini serta tiga kes lagi di Seremban, Negeri Sembilan.


Kamarul Zaman berkata dua sindiket itu masing-masing menyasarkan pekerja Malaysia di Singapura sebagai mangsa dengan mengiklankan tawaran pinjaman di Facebook.


Beliau berkata sindiket itu memberikan pinjaman tanpa persetujuan mangsa dan memaksa mereka untuk membuat bayaran dengan kadar faedah yang tinggi serta membuat ugutan dengan menyimbah cat atau menggunakan api.


Kesemua 11 individu itu direman selama seminggu bermula semalam (30 Julai) di bawah Seksyen 177 Kanun Tatacara Jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update