Notification

×

Iklan

Iklan

Mangsa kebakaran Uma Sambop: Wang tunai RM7,000 musnah kerana rumah jauh daripada bank

| Julai 13, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-07-13T12:30:30Z
Kebakaran pada 12 Julai yang memusnahkan keseluruhan 86 pintu rumah panjang di Uma Sambop, Belaga. Gambar kredit Mary Paya

BELAGA— Sudah jatuh, ditimpa tangga. Begitulah nasib malang yang dialami seorang penduduk rumah panjang Uma Sambop.


Antara mangsa yang paling teruk terkesan ialah seorang pemilik kantin yang tinggal sehelai sepinggang selepas wang tunai hasil perniagaan lebih RM7,000 dan barangan jualan musnah dalam kebakaran petang semalam.


Sebahagian barangan kantin milik Helen Paya yang musnah dalam kebakaran. Gambar kredit Mary Paya


Helen Paya, 68 yang mengusahakan kantin tersebut sejak tiga tahun lalu berkata, ketika kejadian dia berada di dapur.


“Sebaik sahaja mengetahui rumah kami terbakar, saya hanya sempat mencapai beg tangan yang mengandungi sedikit wang dan telefon bimbit. 


Saya tidak sempat mengambil wang yang disimpan di dalam almari kerana bimbang keselamatan melihat api begitu marak,” katanya seperti yang diceritakan anaknya, Mary Paya  kepada Borneo Network melalui aplikasi Whatsapp hari ini.


Mary berkata, sudah menjadi perkara biasa mereka menyimpan wang yang banyak di rumah kerana bank yang terdekat terletak di pekan Belaga, kira-kira 130 kilometer dari Uma Sambop.


Selain wang tunai, turut musnah ialah barangan jualan dianggarkan bernilai RM6,000, barangan kemas, koleksi barangan tembaga seperti gong dan tetawak serta perkakas elektrik. 


Sementara itu Mary yang berada di Miri ketika kejadian berkata, beliau dimaklumkan mengenai musibah tersebut sekitar 4 petang oleh ibunya Helen.


“Saya tidak sempat membuka mesej dalam Whatsapp kerana sibuk mengambil anak pulang dari sekolah.  Saya hanya mengetahui kejadian melalui Facebook dan kebetulan pada masa itu ibu saya di Belaga menelefon memaklumkan berita sedih itu,” katanya.


Mary menambah, kali terakhir dia dan keluarga pulang ke Uma Sambop ketika sambutan tahun baharu yang lalu.


“Kami merancang untuk menyambut Krismas di sana tahun ini selepas kali terakhir pada 2018. Tidak sangka ia adalah yang terakhir.


Sebelum pandemik Covid-19, rumah panjang ini sentiasa didatangi oleh pengunjung termasuk pegawai kerajaan dan ahli-ahli persatuan yang datang ke Belaga. Kami juga menyediakan bilik sewa khas untuk pengunjung, “katanya.


Katanya, antara keunikan rumah panjang yang berusia lebih 40 tahun itu ialah struktur binaan menggunakan kayu belian.


Tinggal kenangan, bahagian ruai rumah panjang. Gambar kredit Mary Paya


“Satu-satunya rumah panjang yang dibina menggunakan hampir 100 peratus kayu belian di kawasan ini. Tak akan ada lagi rumah panjang ini seperti ini,” katanya sedih.


Sementara itu, kebakaran yang berlaku pada 3.31 petang semalam memusnahkan keseluruhan 86 pintu rumah panjang yang mempunyai seramai 680 penduduk.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 3.31 petang dengan menggerakkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Belaga bersama 10 anggota ke lokasi kejadian.


"Setibanya di lokasi kejadian didapati kebakaran melibatkan rumah panjang struktur tidak kekal yang musnah keseluruhan. Kesemua berjaya menyelamatkan diri daripada terperangkap dalam kebakaran itu," katanya.


Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenalpasti punca kebakaran.

×
Berita Terbaru Update