Lelaki ragut wanita hingga sebabkan mangsa patah pinggang dipenjara 6 tahun, 4 sebatan



KUCHING-- Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan empat sebatan ke atas seorang buruh kasar kerana meragut seorang wanita sehingga menyebabkan kecederaan parah dalam kejadian di Jalan Sultan Tengah.


Memetik laporan Suara Sarawak, hukuman itu dijatuhkan oleh Hakim Mohd Taufik Mohd Yusoff ke atas Aszerul Arsad, 28, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut. 


Pada masa sama Mohd Taufik turut memerintahkan hukuman penjara bagi tertuduh untuk dikuatkuasakan mulai tarikh ditangkap pada 26 Jun. 


Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa meragut seorang wanita berusia 35 tahun di hadapan bangunan Sego, Jalan Sultan Tengah, kira-kira jam 4.30 pagi hingga 6.15 pagi, 21 Jun lepas.


Ekoran itu dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 397 kanun yang sama, jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.


Berdasarkan fakta kes, semasa kejadian, suami mangsa dihubungi oleh seorang lelaki yang tidak dikenali menyatakan isterinya terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di hadapan bangunan Sego, Jalan Sultan Tengah.


Semasa tiba di tempat kejadian, dia melihat isterinya terbaring di atas tanah di tepi parit selepas diragut dari bahagian belakang oleh tertuduh.


Disebabkan kejadian itu, mangsa kehilangan sebuah beg tangan, telefon pintar jenama Samsung dan wang tunai RM100.


Selain itu, mangsa turut mengalami kecederaan patah pinggang dan jari tangan kiri dan dirawat di hospital. 


Suami mangsa kemudian membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.


Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, polis berjaya menyelesaikan kes tersebut dengan tertangkapnya suspek hingga dibawa ke muka keadilan. 


Jelasnya, suspek lelaki tempatan berusia 28 tahun telah ditangkap pada 28 Jun lalu.  


"Siasatan telah selesai sepenuhnya dengan tertangkapnya suspek ini dan Pejabat Peguam Negara telah bersetuju untuk menuduh suspek di bawah Sekysen 392/397 Kanun Keseksaan yang boleh dijatuhkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai empat belas tahun dan bolehlah juga dikenakan denda atau sebat," katanya pada sidang media di sini hari ini. 


Tambahnya, kejayaan itu menerusi pasukan khas yang ditubuhkan untuk memburu suspek telah ditubuhkan yang diketuai oleh Inspektor Muhammad Rizal dan lapan anggota hingga membawa kejayaan tertangkapnya suspek kes ini. 

Next Post Previous Post