Kami ada 3,000 tan metrik bitumen cukup untuk bina 30 kilometer jalan raya sedia untuk bantu siapkan jejambat Batu 6&7, kata pembekal


KUCHING-- "Kami ada 3,000 tan metrik bitumen," kata Pengurus Besar Borneo Asphalt Sdn Bhd (BASB) Zamsury Kushaili.


Jelas beliau, pihaknya sedia membantu kontraktor Jabatan Kerja Raya (JKR) yang dikatakan menghadapi masalah kekurangan bekalan bitumen bagi menyiapkan projek Jejambat Batu 6 dan Jejambat Batu 7 ekoran kehabisan stok bahan berkenaan.



"Pada masa ini kita mempunyai 3,000 tan metrik bitumen yang tersedia dalam keadaan biasa yang mampu menampung projek pembinaan jalan raya sepanjang 30 kilometer.


“Objektif penubuhan BASB, yang mula beroperasi pada Januari 2021, adalah untuk memastikan bekalan bitumen tidak terganggu untuk pembinaan jalan raya di Sarawak, khususnya Lebuhraya Pan Borneo dan kami komited untuk memenuhi aspirasi itu,” katanya dalam kenyataan menerusi laporan DayakDaily semalam.


Selain BASB, Ketua Terminal Minyak Bebas (IOT) Ismail Julaihi turut menyentuh perkara yang sama.


Katanya, IOT hanya menghadapi masalah kecil pada 1 Julai dan ia telah diperbetulkan serta-merta dalam tempoh 24 jam mengikut piawaian industri biasa.


“Kesilapan itu tidak menjejaskan pengangkatan bitumen ke pasaran.


“Pada masa ini, kami mempunyai stok bitumen yang mencukupi dalam simpanan kami. Kontraktor sentiasa dialu-alukan untuk mendapatkan bekalan mereka di depoh IOT pada bila-bila masa,” katanya.


Sementara itu, Pembantu khas Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chiang Jen, Michael Kong, berkata JKR sepatutnya mendapatkan pengesahan daripada pembekal dan kontraktor mengenai bekalan bitumen untuk pembinaan jejambat berkenaan.


Pada masa yang sama beliau menggesa JKR terlibat sama dengan kontraktor untuk mencari alternatif lain bagi memastikan projek tersebut dapat disiapkan mengikut masa ditetapkan.


“Sekiranya timbul sebarang isu atau kelewatan, adalah menjadi tanggungjawab JKR Sarawak untuk melibatkan diri dengan kontraktor untuk mencari jalan penyelesaian lain bagi memastikan projek ini disiapkan tepat pada masanya cara,” katanya kepada pemberita semasa sidang media yang diadakan di ibu pejabat DAP Sarawak semalam.


Sebelum ini, Unit Lebuhraya Pan Borneo Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak berkata, berikutan kekurangan bekalan bitumen itu pembukaan kedua-dua lorong (laluan memotong dan perlahan) untuk kedua-dua jejambat berkenaan tertangguh lagi.


Jelasnya, bekalan bitumen di Kuching sejak awal bulan Jun mengalami kehabisan stok.


"Pembekal bitumen di Kuching kehabisan stok berikutan penghantaran bekalan bitumen dari Singapura mengalami kelewatan.

 

"Lebih merumitkan lagi keadaan, salah satu Terminal Minyak Bebas (IOT) di Sejingkat menghadapi kerosakan bulan lepas," katanya dalam kenyataan hari ini.


Ekoran ini, bekalan bitumen yang ada masa ini adalah terhad kerana permintaan daripada kontraktor projek pembinaan yang lain.

Next Post Previous Post