-->

Notification

×

Iklan

Iklan

Johor perintis kontrak berasaskan prestasi babitkan kos bina jalan RM601 juta

| Julai 24, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-07-24T10:40:54Z
Onn Hafiz (dua kanan) dan Fadillah (tiga kiri) semasa majlis makan malam Karnival Sukan JKR (SURYA) Se-Malaysia 2022. Gambar kredit Fadillah Yusof

JOHOR BAHRU-- Johor merupakan perintis kepada perjanjian konsesi jalan raya yang menggunakan model kontrak berasaskan prestasi dengan anggaran kos RM601 juta. 


Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata tempoh perjanjian kontrak di antara Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Selia Selenggara Selatan Sdn Bhd itu telahpun bermula Jun lepas sehingga Februari 2026.


"Pendekatan holistik ini akan mengukur dengan lebih tepat indeks prestasi utama (KPI) perkhidmatan oleh syarikat yang dilantik sekali gus dapat memastikan jalan raya lebih berkualiti pada masa akan datang demi keselesaan pengguna Bangsa Johor. 


"Selain itu, kerajaan Persekutuan juga telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM126.23 juta tahun ini bagi menyelenggara jalan persekutuan di negeri ini," katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini.


Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata KKR turut meluluskan beberapa projek jalan raya di Johor termasuk Lebuhraya Pasir Gudang yang sedang dinaik taraf daripada empat lorong kepada enam lorong dari persimpangan Bandar Seri Alam Taman Rinting-Pasir Gudang dengan kos RM155 juta.


Beliau berkata tanjakan berarah (directional ramp) di persimpangan Senai Desaru Expressway (SDE)-Bandar Penawar juga sedang dalam pembinaan dengan kos RM129.2 juta. 


"Selain itu, jalan pintas dari Kolej Matrikulasi ke Kawasan Perindustrian Tangkak di Jalan Muar-Tangkak-Segamat sedang dinaik taraf dengan kos RM269 juta.


"Sementara itu, pembinaan median, pusingan U dan kerja berkaitan sedang dibuat dari Parit Sempadan, Batu Pahat (Seksyen 21) – jambatan merentasi lebuh raya utara selatan (PLUS) (seksyen 34.5) melibatkan kos RM250 juta," katanya.


Beliau berkata jambatan Kota Tinggi bypass juga sedang dinaik taraf dengan kos RM126.4 juta selain kerja pembaikan dan naik taraf jalan raya di hadapan Hospital Sultanah Aminah membabitkan kos RM800,000.


"Semalam saya berpeluang beramah mesra dengan warga Jabatan Kerja Raya di majlis makan malam Karnival Sukan JKR (SURYA) Se-Malaysia 2022 dan ribuan terima kasih saya ucapkan kepada Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof kerana sudi menjemput saya dan meluluskan projek-projek jalan raya di Johor," katanya. 


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update