Indonesia sekat Facebook, Google, Whatsapp jika tidak berdaftar dengan kementerian
![]() |
Gambar hiasan kredit Nathan Dumlao/ Unsplash |
JAKARTA—Pihak berkuasa Indonesia bersedia untuk menyekat aplikasi media sosial dan perkhidmatan dalam talian termasuk Google, Facebook, dan WhatsApp dalam beberapa hari akan datang jika pihak terbabit gagal mendaftar dengan Kementerian Komunikasi dan Informasi negara itu, lapor Xinhua.
Syarikat gergasi digital diberi tempoh sehingga Rabu untuk melengkapkan pendaftaran pelesenan. Pihak kementerian akan melabel aplikasi-aplikasi berkenaan sebagai haram dan menyalahi undang-undang negara jika gagal berbuat demikian.
"Kami telah memberi amaran kepada semua syarikat teknologi tempatan dan asing termasuk perkhidmatan dalam talian, laman sesawang dan pengendali aplikasi bahawa mereka perlu mendaftar jika tidak mahu dikenakan sekatan. Kami telah memberi tempoh sejak enam bulan lalu," Ketua Pengarah kementerian bahagian Aplikasi Maklumat Semuel Abrijani memberitahu pemberita pada Selasa.
Pendaftaran itu adalah sebahagian daripada peraturan baharu yang mula dikuatkuasa pada Januari 2022, dengan mensyaratkan semua platform teknologi perlu memperoleh lesen sebelum dibenarkan beroperasi.
Peraturan itu juga membolehkan pihak berkuasa mengarahkan platform yang mengeluarkan sebarang kandungan dianggap menyalahi undang-undang, tidak sesuai dan "mengganggu ketenteraman awam" untuk memadam hantaran dalam tempoh empat hingga 24 jam bergantung kepada kandungan berkenaan.
Kerajaan Indonesia cuba mengurangkan penyebaran maklumat palsu dan penipuan, terutamanya menjelang pilihan raya umum negara itu pada 2024.
--BERNAMA
PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.