-->

Notification

×

Iklan

Iklan

i-Miliki tawar pengecualian duti setem pembelian rumah pertama

| Julai 15, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-07-15T11:21:14Z
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR—Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan pengecualian duti setem 100 peratus bagi pemilikan rumah pertama berharga RM500,000 dan ke bawah menerusi inisiatif Pemilikan Perumahan Keluarga Malaysia (i-MILIKI) mulai 1 Jun 2022 hingga Disember 2023.


Beliau berkata insentif pengecualian duti setem sebanyak 50 peratus pula melibatkan rumah berharga melebihi RM500,000 sehingga RM1 juta. 


Ismail Sabri berkata meskipun pengecualian duti setem itu akan mengurangkan kutipan hasil kepada negara, namun beliau menegaskan bahawa tindakan itu merupakan komitmen kerajaan kepada Keluarga Malaysia. 


Katanya kerajaan melakukan pelbagai cara untuk memudahkan pemilikan rumah kediaman dalam kalangan Keluarga Malaysia seperti pemberian insentif pengecualian cukai duti setem bagi perjanjian pindah milik harta tanah dan perjanjian pinjaman. 


“Untuk rekod, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumkan bahawa tuntutan pengecualian duti setem di bawah HOC adalah sebanyak RM957.8 juta. Malah, tuntutan pengecualian duti setem paling tinggi adalah bagi harga rumah RM500,000 dan ke bawah,” katanya semasa berucap pada pelancaran Home Ownership Programme (Program Pemilikan Kediaman) (HOPE) dan Karnival Jom Beli Rumah di Pusat Pameran Mid Valley di sini hari ini. 


Ismail Sabri berkata inisiatif i-MILIKI melibatkan pemberian insentif pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah pertama secara peringkat atau tier harga rumah. 


"Pengecualian itu adalah bagi perjanjian jual beli yang disempurnakan dalam tempoh mulai 1 Jun 2022 sehingga Disember 2023," katanya. 


Beliau berkata sebelum ini insentif berkenaan diperkenalkan sejak HOC yang dimulakan pada 2019 hingga 2021 dan masih diteruskan bagi pembelian rumah pertama bernilai sehingga RM500,000 sehingga 31 Disember 2025. 


Menjadikan agenda perumahan sebagai satu prioriti dan tiada kompromi,  Ismail Sabri berkata kerajaan Keluarga Malaysia akan meneruskan program sedia ada untuk memastikan lebih ramai rakyat negara ini memiliki rumah terutama golongan B40. 


Mengulas mengenai HOPE, beliau berkata ia bukan sahaja membantu mempromosi perumahan untuk segenap lapisan masyarakat tetapi juga bagi melihat ekosistem sektor perumahan secara holistik. 


"Dalam hal ini, komitmen kerajaan untuk memastikan penyediaan kediaman yang mencukupi, berkualiti dan mampu dimiliki, haruslah didaya oleh semua pihak penyedia perumahan termasuklah pihak swasta. 


"Bahkan dalam soal pemilikan rumah ini juga, ia harus didokong oleh ekosistem institusi kewangan yang lebih menyokong dan memudahkan urusan pemilikan," katanya.


Justeru beliau berharap lebih banyak kediaman mampu milik dapat disediakan oleh pihak pemaju perumahan yang menepati had pendapatan Keluarga Malaysia berdasarkan lokaliti. 


Ismail Sabri juga berkata lebih banyak program bersifat pendidikan seperti Kempen Bijak Beli Rumah dan Pemilikan Kediaman pada Usia Muda perlu diperhebatkan.


"Ini pastinya dapat membantu Keluarga Malaysia khususnya pembeli rumah pertama mendapat pengetahuan tentang pemilikan hartanah dan memudahkan mereka membeli kediaman idaman  mengikut kemampuan masing-masing,"katanya. 


-- BERNAMA 

×
Berita Terbaru Update