Tiga cedera, seorang patah kaki dalam kemalangan di Jalan Sarikei-Sibu

Keadaan kemalangan melibatkan dua kenderaan di Jalan Sarikei-Sibu petang semalam. Gambar kredit Bomba


SARIKEI—Tiga daripada enam individu cedera termasuk seorang patah kaki kiri dalam nahas kemalangan jalan raya melibatkan dua kenderaan di Jalan Sarikei-Sibu berdekatan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Ming Daik, Bintangor di sini lewat petang Jumaat.


Jurucakap bomba berkata, pihaknya mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan sekitar jam 5.49 petang.


 


"Sampai di tempat kejadian, komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan dua kenderaan iaitu kereta jenis Proton Saga dan Toyota Avanza.


"Terdapat enam mangsa terlibat dalam kemalangan ini di mana tiga daripadanya cedera iaitu dua cedera ringan dan seorang patah kaki kiri," katanya dalam kenyataan hari ini.


Jelasnya, pasukan EMRS kemudian membawa ketiga-tiga mangsa yang cedera ke Hospital Sarikei untuk rawatan lanjut.


Tambahnya, setelah memastikan keadaan selamat pasukan bertolak balik ke balai.


Operasi ditamatkan sekitar jam 6.54 petang.

Next Post Previous Post