Sindiket bawa masuk dadah dari kawasan segi tiga emas tumpas

Sindiket terbabit aktif sejak hujung 2021 dan dipercayai mendapat bekalan dadah dari lokasi dikenali sebagai ‘Segi Tiga Emas’ (Thailand, Laos dan Myanmar) sebelum menjualnya untuk pasaran Indonesia. Gambar kredit JSJN PDRM

KUALA LUMPUR—Polis Diraja Malaysia menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah dengan merampas pelbagai jenis dadah seberat 696 kilogram (kg) bernilai RM25.35 juta dalam serbuan di Selangor dan Kedah pada Khamis serta awal pagi tadi.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata pada serbuan pertama di sekitar Selangor pukul 2.30 pagi Khamis, polis merampas dadah jenis syabu seberat 404.3 kg, heroin (7.7 kg) dan pil ekstasi (35.3 kg) yang dianggarkan bernilai RM16.4 juta.


Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menunjukkan sebahagian rampasan dadah semasa sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini. Gambar kredit JSJN PDRM


"Selain itu, polis menahan seorang lelaki berusia 40 tahun yang dipercayai terlibat dengan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah bagi pasaran antarabangsa dan tempatan," katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.


Sementara itu, dalam serbuan awal pagi tadi di Kedah dan Selangor, Ayob Khan berkata pihaknya menahan tiga lelaki dan seorang perempuan berumur lingkungan 25 hingga 39 tahun yang dipercayai terlibat aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah bagi pasaran tempatan.


Katanya dalam serbuan itu, polis merampas  248.7 kg dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM8.95 juta. 


Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata sindiket terbabit aktif sejak hujung 2021 dan dipercayai mendapat bekalan dadah dari lokasi dikenali sebagai ‘Segi Tiga Emas’ (Thailand, Laos dan Myanmar) sebelum menjualnya untuk pasaran Indonesia.


"Modus operasi yang digunakan sindiket adalah menjadikan premis kediaman sebagai tempat menyimpan dadah sebelum diseludup ke negara jiran untuk pasaran antarabangsa dan diedar di pasaran tempatan,” katanya.


Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB 1952) dan suspek direman selama tujuh hari bermula semalam dan hari ini bagi membantu siasatan.


"Tindakan juga diambil di bawah ADB (Pelucuthakan Harta) 1988 dan polis setakat ini menyita aset sindiket yang dianggarkan bernilai RM360,000 iaitu kenderaan Toyota Fortuner, Kia Optima, Mitsubishi Triton dan Ford Ranger," katanya.


Ayob Khan menegaskan pihaknya akan meneruskan siasatan bagi mengesan saki-baki ahli sindiket untuk dibawa ke muka pengadilan serta berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku dalam komuniti.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.