Sarawak laksana empat kaedah tambah pendapatan


KUCHING—Pemindaan Ordinan Hutan dan Kanun Tanah Negeri oleh Kerajaan Negeri adalah satu daripada kaedah baharu bagi menambah sumber pendapatan di Sarawak. 


Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pemindaan tersebut melibatkan Perdagangan Karbon dan Spektrum.


"Kaedah lain adalah menerusi pengeluaran hidrogen dengan penggunaan sumber tenaga baharu serta merancang menubuhkan dana kekayaan berdaulat sendiri.


"Kaedah seterusnya pula ialah menjual tenaga lebihan dari projek Hidro Elektrik Bakun ke Sabah dan Kalimantan, Indonesia," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung PBB Ke-15 di Pusat Konvensyen Borneo (BCCK), di sini hari ini.


Majlis tersebut dirasmikan oleh Presiden PBB merangkap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. 


Hadir sama, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Presiden Parti Rakyat Bersatu (PRS) Datuk Joseph Salang Gandum dan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing.


Sementara itu, Timbalan Premier Sarawak terbabit menambah, Sarawak menyaksikan pelaksaan projek dengan cepat, pesat dan menyeluruh sejak lima tahun lepas.


Katanya, ia termasuk projek infrastruktur seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air, pembinaan tiga jambatan yang dibatalkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) iaitu Jambatan Batang Rambungan, Batang Lupar serta Batang Igan dan lain-lain.


"Dalam lima tahun kebelakangan ini, Sarawak tidak pernah menikmati autonomi sebanyak yang kita ada sebelum ini. Ini semua berkat GPS, Gabungan Parti Sarawak," katanya.


Selain itu kata Uggah, lima agensi pembangunan di kawasan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (RECODA) telah ditubuhakan setakat ini.


"Antaranya ialah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (HDA), Agensi Pembangunan (NRDA), Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA), Agensi Pembangunan Wilayah Utara Sarawak (NRDA) dan Agensi Pembangunan Samarahan Wilayah Bersepadu (IRSDA).


"Setiap agensi pembangunan diperuntukkan sebanyak RM1.5 bilion untuk melaksanakan projek pembangunan di wilayah masing-masing," katanya lagi.

Next Post Previous Post