Sukan Komanwel: MPM optimis Bonnie gegar Birmingham

Gambar kredit MSN

KUALA LUMPUR—Jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin berada dalam landasan tepat untuk merangkul emas pada Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, England, bermula 28 Julai hingga 8 Ogos ini.


Keyakinan itu dilaungkan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin selepas Bonnie sekali lagi mengharumkan nama negara dengan menjuarai Kejohanan Powerlifting Para Terbuka Asia Oceania 2022 di Pyeongtek, Korea Selatan, semalam.


Juara Paralimpik Tokyo 2020 itu berjaya meraih pingat emas bagi kategori 72 kilogram (kg) menerusi angkatan terbaiknya seberat 213kg pada percubaan ketiga dalam kejohanan berkenaan.


“Saya tengok sebelum Bonnie berlepas (ke Korea Selatan), dia sangat optimistik, dia memang antara yang menjadi harapan, ada pingat itu pastilah,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan MPM ke-24 di sini, hari ini.


Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebelum ini meletakkan sasaran tujuh emas untuk dibawa pulang kontinjen negara di Birmingham nanti.


Sukan powerlifting serta empat lagi sukan iaitu angkat berat, skuasy, boling padang, dan gimrama disasarkan meraih satu pingat emas manakala badminton disandarkan harapan membutirkan dua emas.


Selain Bonnie, seorang lagi atlet powerlifting, Jong Yee Khie dijangka menyertai Sukan Komanwel kali ini.


Mengenai status terkini Sukan Para ASEAN (APG) ke-11 di Solo, Indonesia, bulan depan, Megat D Shahriman berkata penganjuran temasya itu akan tetap diteruskan biarpun dikhabarkan tuan rumah belum bersedia sepenuhnya.


“Setakat ini, kami mendapati venue renang telah ditukar ke Semarang yang mengambil masa satu jam 30 minit dari Solo, manakala pergerakan atlet ke semua venue juga belum jelas lagi.


“Keutamaan kami ketika ini juga untuk mengetahui sama ada tandas bagi atlet para ini cukup atau tidak di sana” katanya.


Beliau pada masa memaklumkan dijemput penganjur ke Solo bersama wakil Majlis Sukan Negara (MSN) untuk meninjau persiapan tuan rumah menjelang APG pada 29 Jun ini.


Pemilihan bandar raya di Jawa Tengah itu bagi menganjurkan APG, dijadualkan pada 30 Julai hingga 6 Ogos ini, diluluskan oleh Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) bagi menggantikan Hanoi, Vietnam, yang menarik diri daripada tugas penganjuran ekoran pandemik COVID-19.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.