Sarawak rekod 269 kes denggi


BAU— Jumlah kes denggi di negeri ini terus mengalami peningkatan dengan sebanyak 269 kes berbanding hanya 210 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.


Memetik laporan Suara Sarawak, Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Dr. Irwilla Ibrahim berkata, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 28 peratus.


“Daripada jumlah tersebut, satu kes melibatkan kematian di bahagian Sibu,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes Kebangsaan dan Sambutan Hari Denggi ASEAN Peringkat Sarawak Daerah Bau 2022, di sini, hari ini.


Menurutnya lagi, Kuching merekodkan sejumlah 46 kes denggi iaitu peningkatan dua kali ganda jika dibandingkan dengan tempoh yang sama pada tahun lalu.


Namun, tiada kematian dilaporkan.


Manakala, daerah Bau pula mencatatkan sebanyak 16 kes berbanding tiada kes dicatatkan untuk tempoh yang sama pada tahun lepas.

Next Post Previous Post