-->

Notification

×

Iklan

Iklan

Presiden PKBM didakwa salah guna jawatan

| Jun 03, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-06-03T10:57:40Z
Pertuduhan terhadap Abu Samah (tengah) dikemukakan mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama. Gambar kredit SPRM

MELAKA— Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Abd Wahab mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini, atas dua pertuduhan salah guna jawatan.


Abu Samah, 81, didakwa menggunakan jawatannya sebagai Presiden PKBM sebagai dorongan mendapatkan suapan, apabila memilih syarikat miliknya dan anak-anaknya iaitu Syarikat Harapan Baiduri Sdn Bhd, untuk menyediakan sewaan kenderaan logistik dengan harga sewaan RM12,750 melalui 13 baucar bayaran mulai 2013 hingga 2018.


Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa atas perbuatan sama melibatkan syarikat miliknya dan adik- beradiknya, iaitu Syarikat Keluarga Haji Wahab Hassan Sdn Bhd untuk membuat sewaan inap desa (homestay) bagi kegunaan atlet berbasikal dengan sewaan RM36,061.85 melalui 32 baucar bayaran dari 2013 hingga 2018.


Dia dituduh melakukan kedua-dua perbuatan itu pejabat PKBM, di Melaka Tengah antara 2013 dan 2019.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.


Jika sabit kesalahan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.


Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mahadi Abdul Jumaat mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin, beserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.


Abu Samah yang tidak diwakili peguam merayu, agar jaminan dikurangkan kepada RM5,000 atas alasan faktor usia serta telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM sepanjang siasatan.


Tertuduh juga memohon agar pasport antarabangsanya tidak diserahkan kepada mahkamah atas alasan dia perlu menghadiri mesyuarat di luar negara atas kapasitinya sebagai presiden PKBM, dalam masa terdekat.


Hakim Nariman Badruddin membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan pasport diserahkan kepada mahkamah, namun tertuduh boleh memohon secara rasmi apabila mempunyai keperluan menggunakannya.


Mahkamah menetapkan 14 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam. 


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update